WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, mengumumkan pada 9 Julai sebuah pakej pertahanan udara besar untuk Ukraine, ketika keraguan terhadap kelangsungan politiknya menyelubungi permulaan sidang puncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di Washington.
Pemimpin daripada pakatan tentera 32 negara itu sedang berusaha untuk menunjukkan keazaman menentang Russia dalam sidang penuh kemegahan selama tiga hari di ibu negara Amerika sempena ulang tahun Nato ke-75 itu.
Tetapi persoalan mengenai kesesuaian Encik Biden, 81 tahun, untuk mentadbir menguasai perhimpunan itu, sedang beliau berdepan gesaan supaya berundur dalam pertarungan bagi penggal kedua presiden selepas perdebatan buruk ketika menentang pencabarnya, Encik Donald Trump, pada 27 Jun.
Encik Biden memulakan sidang puncak itu dengan mengumumkan Washington akan menyediakan sistem pertahanan udara ‘Patriot’ tambahan kepada Ukraine.
“Perang akan berakhir dengan Ukraine kekal sebagai negara bebas dan merdeka. Russia tidak akan menang,” katanya di majlis yang berlangsung di bilik perjanjian pengasas Nato yang ditandatangani pada 1949.
Ikrar Amerika itu dibuat di samping dua sistem ‘Patriot’ baru yang telah diberikan oleh Jerman dan Romania, dan satu dari Belanda.
Pertahanan udara “akan membantu melindungi bandar, orang awam dan tentera Ukraine,” kata Encik Biden dalam satu kenyataan bersama pemimpin lain, sambil menambah bahawa mereka akan berusaha untuk menghantar berpuluh-puluh sistem jarak jauh dalam beberapa bulan akan datang.
Ukraine telah berbulan-bulan meminta tujuh sistem ‘Patriot’ tambahan untuk membantu melindunginya daripada serangan Russia yang dahsyat dalam tempoh dua setengah tahun selepas pencerobohan Russia ke atas negara itu.
Pada 9 Julai, Russia menyerang dengan peluru berpandu hospital kanak-kanak di Kyiv dan bandar-bandar lain, membunuh 43 orang.
Ketua Nato, Encik Jens Stoltenberg, menggesa negara anggota perikatan itu supaya terus menyokong Ukraine, dan memberi amaran bahawa jika Russia menang dalam peperangan itu ia akan menjadi “risiko paling besar” bagi Nato. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg