BARISAN Nasional (BN) di Johor dijangka mampu merampas lebih banyak kerusi parlimen dari Pakatan Harapan (PH) di Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang menjelang ini berdasarkan keputusan pilihan raya negeri awal tahun ini, apabila ia menang dengan majoriti besar.
BN memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditawarkan di pilihan raya negeri Johor pada Mac lalu dan sentimen pengundi di sana bak berpihak kepada Johor.
Ini berbeza daripada landskap politik pada 2018, yang membolehkan PH memenangi 36 kerusi DUN, hampir seganda lebih tinggi berbanding jumlah kerusi yang dimenangi BN.
Pada tahun yang sama, PH memenangi 18 daripada 26 kerusi parlimen di Johor, dengan BN memenangi baki lapan kerusi.
Namun, kelakonan BN di PRU15 kali ini dijangka bertambah baik.
Profesor Madya di Jabatan Pengajian Melayu di Universiti Malaya, Dr Awang Azman Awang Pawi, berkata BN-Umno di Johor mempunyai pangkalan sokongan yang kuat dan ini telah diperkukuh sejak Mac lalu.
"Sentimen Johor kali ini mahu BN kembali menguasai parlimen di negeri ini dengan majoriti," ujar beliau, menjawab pertanyaan Berita Harian (BH).
Pengundi di Johor juga telah menjadi kurang yakin dengan keupayaan PH, yang sebahagian besarnya disebabkan kegagalan pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Liew Chin Tong, antara lain untuk memperkukuh sokongan bagi PH dan DAP di sana, kata pemerhati politik, Profesor James Chin.
DAP ialah antara parti yang menjadi anggota PH. Encik Liew baru-baru ini dinamakan sebagai calon DAP untuk bertanding di Iskandar Puteri, menggantikan calon veteran Encik Lim Kit Siang, yang bersara pada Mac lalu.
Tinjauan BH di Johor baru-baru ini mencadangkan sentimen penduduk di Johor, terutama di kawasan pedalaman, berpihak kepada BN.
Penduduk Kampung Johor Lama di Telok Sengat, Kota Tinggi, Encik Abu Bakar Abdul Aziz, 67 tahun, berkata beliau ingin kestabilan yang ditawarkan BN sejak berdekad lamanya.
"Sejak dulu lagi, kalau kita ada kesusahan, wakil BN juga yang datang membantu kami," ujar Encik Abu Bakar, seorang nelayan generasi kedua dan pemilik restoran makanan laut.
Seorang pemandu berusia 33 tahun yang enggan namanya disiarkan berkata beliau akan menyokong BN - walaupun beberapa pemimpinnya telah membuat kesilapan - kerana percaya dengan pendirian gabungan parti itu.
"Saya kecewa dengan apa yang berlaku... seperti kes 1MDB dan sebagainya, tapi saya ingin beri peluang kepada BN untuk berubah," katanya.
Dalam pada itu, satu cabaran bagi PH adalah untuk menggalakkan penyokongnya keluar mengundi.
Pengarah di BowerGroupAsia, Encik Adib Zalkapli berkata seperti di tempat-tempat lain, cabaran Pakatan Harapan di Johor adalah menggalakkan penyokong mereka untuk keluar mengundi.
"Kita dapat lihat ketika pilihan raya negeri Johor pada Mac lalu, BN menang selesa kerana PH gagal menaikkan semangat penyokong-penyokong mereka untuk keluar mengundi," kata Encik Adib.
Pendapatnya itu selaras dengan dapatan analisis yang diusahakan oleh Dr Francis E. Hutchinson dan Encik Kevin Zhang dari Iseas-Institut Yusof Ishak berjudul A Granular Analysis of the 2022 Johor State Polls: Implications for Malaysia's Impending General Election yang menganalisis keputusan pilihan raya negeri Johor dan implikasinya ke atas PRU15.
Dalam rumusan hasil analisis itu, penulisnya berkata berbanding BN, PH kurang rangkaian akar umbi untuk menyediakan sokongan untuk mendorong pengundi ke pusat mengundi.