Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

BN kalah teruk: Lagi gesaan Zahid undur diri

Nov 21, 2022 | 05:30 AM



SELEPAS mencatat rekod terburuk dalam sejarah Barisan Nasional (BN), beberapa pemimpin Umno meletak jawatan semalam manakala ada juga yang menggesa Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berundur.



Antara mereka yang mengumumkan untuk meletak jawatan itu ialah Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar, kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan Datuk Ahmad Zahid.



Bercakap dengan media di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur sebaik berakhir mesyuarat Biro Politik Umno dan Pengerusi Perhubungan Negeri semalam, Tan Sri Noh berkata beliau rasmi meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Selangor kerana beliau dan Datuk Ahmad Zahid sudah saling tidak mempercayai.



"Saya juga minta kalau Presiden (Umno) berjiwa besar, beliau sepatutnya letak jawatan seperti mana dulu Datuk Seri Najib bila (BN) kalah (selepas Pilihan Raya Umum Ke-14), beliau dipaksa letak jawatan, maka biarlah ada orang baru untuk menguruskan Umno," ujarnya yang menambah beliau masih merupakan ahli Majlis Tertinggi Umno.



Perkara sama turut disuarakan beberapa pemimpin Umno yang lain termasuk Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dan mantan Ketua Penerangan Umno, Encik Shahril Hamdan.



Menurut Datuk Onn Hafiz, Datuk Ahmad Zahid perlu segera meletak jawatan selain mengambil tanggungjawab terhadap apa yang dizahirkan rakyat.



"Insya-Allah tindakan berjiwa besar ini akan membantu kita mengambil langkah pertama untuk memulihkan dan menguatkan kembali parti Umno yang kita semua cintai ini," ujarnya.



Tambahnya, ramai pemimpin Umno, Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Kongres India Malaysia (MIC) yang berkaliber dan berpotensi terkorban kerana parti itu tidak mahu mendengar denyut nadi akar umbi.



MCA dan MIC juga telah tampil rasmi menyatakan hilang kepercayaan terhadap Datuk Ahmad Zahid selain mendesak agar beliau segera melepaskan jawatan itu.



Sementara itu, Encik Shahril, yang juga calon BN bagi kerusi Parlimen Alor Gajah di Melaka, turut mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Ketua Penerangan Umno ekoran prestasi buruk gabungan itu dalam PRU15.



Beliau turut menggesa Datuk Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi BN, meletak jawatan sebagai tanggungjawab bersama atas sesuatu kegagalan.



"Saya berpandangan bahawa pemimpin nombor satu Presiden Umno dan Pengerusi BN perlu memaparkan contoh dengan memimpin proses mengambil tanggungjawab kekalahan ini - berundur secara terhormat.



"Biar kepimpinan dan individu lain memimpin perbincangan membuat keputusan besar seterusnya untuk parti ini," katanya.



BN mencatat keputusan terburuk dalam sejarah menyertai pilihan raya umum apabila sekadar mendapat 30 kerusi daripada 178 kerusi yang ditandinginya.



Menyusuli peletakan jawatan Encik Shahril itu, Datuk Ahmad Zahid telah melantik Ahli Majlis Tertinggi Umno, Encik Isham Jalil, sebagai Ketua Penerangan Umno berkuatkuasa semalam.



Ini disahkan oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, di laman media sosial Twitter beliau.



Calon BN yang tewas di kerusi Parlimen Sungai buloh, Encik Khairy Jamaluddin, turut menyuarakan sokongan terhadap gesaan supaya Datuk Ahmad Zahid meletak jawatan termasuk oleh Encik Shahril dan Datuk Onn Hafiz.



Menyifatkan apa yang dilakukan Encik Shahril dan Datuk Onn Hafiz sebagai tindakan yang tepat, beliau berkata:



"Sekarang, pemimpin kanan perlu ikut. Takkan tengok sahaja? Menang sorak di WTC, negara tergadai." - ERVINA MOHD JAMIL




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >