WASHINGTON: Syarikat Boeing dijangka menjual hampir 80 buah pesawat 787 Dreamliner kepada dua syarikat penerbangan Arab Saudi, menurut sumber yang berkongsi maklumat mengenai perkara itu pada Isnin.

Laporan awal Wall Street Journal mengatakan persetujuan pembelian itu dijangka secepatnya Selasa, dengan senarai harga 78 buah pesawat berjumlah sekitar AS$37 ($49.85) bilion.

Biasanya syarikat penerbangan mendapat potongan harga yang tidak diumumkan apabila membeli pesawat.

Syarikat penerbangan milik negara Arab Saudi, Saudia dan sebuah lagi syarikat penerbangan baru, Riyadh Air, akan membeli pesawat Boeing 787 itu, kata satu sumber.

Kedua-dua syarikat penerbangan itu dijangka membeli sejumlah 78 buah pesawat Boeing 787 dan membahagikannya.

Mereka juga diberi pilihan untuk membeli lagi 43 buah pesawat tersebut, menurut sumber.

Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman, secara rasmi mengumumkan pada Ahad penubuhan syarikat penerbangan Riyadh Air, dengan tokoh industri penerbangan, Encik Tony Douglas, selaku ketua eksekutif, sedang kerajaan Arab Saudi bergerak untuk bersaing dalam pengangkutan serantau.

Riyadh Air akan melakukan penerbangan ke lebih 100 destinasi di dunia menjelang 2030, menggunakan lokasi Arab Saudi dengan Asia, Afrika dan Eropah, lapor agensi berita rasmi, SPA.

Syarikat penerbangan baru itu dijangka menambah AS$20 bilion kepada pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) bukan minyak bagi Arab Saudi.

Ia juga dijangka menyediakan lebih 200,000 peluang pekerjaan, secara langsung dan tidak langsung, lapor agensi itu.

Riyadh Air, milik sepenuhnya dana pelaburan negara, Public Investment Fund, yang memiliki aset berjumlah lebih AS$600 bilion, adalah pemacu usaha mempelbagai ekonomi Arab Saudi dan mengelak daripada terlalu bergantung kepada minyak.

Pada Oktober 2022, Arab Saudi telah merundingkan bagi memesan hampir 40 buah pesawat A350 daripada syarikat Airbus, sementara Boeing juga melobi untuk mengambil kesempatan daripada peningkatan industri pengangkutan negara itu, menurut sumber industri tersebut.

Persetujuan pembelian itu dicapai selepas satu pesanan dibuat dengan United Airlines pada Disember 2022, bagi 100 buah pesawat 787 Dreamliner dan 100 buah pesawat 737 MAX.

Pada awal Mac ini, agensi berita Reuters dalam laporan eksklusif menyebut sebuah syarikat penerbangan bajet, IndiGo, sedang berunding dengan Boeing dan Airbus, untuk membeli lebih 500 pesawat.

Pesanan itu termasuk pesawat berbadan lebar seperti Boeing 787 atau Airbus A330neo.

Pada Jumaat lalu, Pentadbiran Penerbangan Federal mengumumkan ia membenarkan Boeing kembali memulakan pengiriman pesawat Boeing 787, yang telah digantung sementara sejak Februari 2023. - Reuters.