Subuh
5:36
Syuruk
6:53
Zuhur
12:57
Asar
4:02
Maghrib
6:59
Isyak
8:08
Dunia

MENJELANG PILIHAN RAYA UMUM MALAYSIA

Bolehkah Pakatan Harapan rampas Kelantan dari PAS?

Mar 20, 2018 | 05:30 AM

PILIHAN raya Malaysia ke-14 dijangkakan berlaku dalam masa beberapa minggu lagi, dan bahangnya pun sudah dapat dirasakan.

Walaupun parlimen masih belum dibubarkan, dan tarikh pilihanraya belum lagi ditentukan lagi, parti yang memerintah BN (Barisan Nasional), dan pakatan pembangkang PH (Pakatan Harapan), sudah pun bergiat aktif dan turun padang dengan mengadakan ceramah-ceramah di seluruh pelusuk kampung-kampung dan bandar.

Di Kelantan, kempen secara kecil-kecilan sudah pun bermula, dan parti-parti politik sudahpun memulakan "perang bendera" dengan menggantung simbol-simbol parti masing-masing di tepi-tepi jalan raya utama di negeri tersebut. Strategi ini adalah untuk meningkatkan faktor "kehadiran" di kalangan pengundi.

Perang bendera ini sudah giat dijalankan sebelum cuti Tahun Baru Cina bulan yang lalu. Semua parti-parti politik mahu mengambil perhatian rakyat yang pulang ke kampung masing-masing sempena hari-hari cuti yang panjang itu.

Buat masa ini, kedua-dua BN dan PH masih belum menamakan calon menteri besar masing-masing sekiranya mereka berjaya menawan Kelantan daripada PAS. Kelihatannya Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato' Mustapa Mohamed, aktif dalam mengepalai jentera pilihanraya bagi BN. Sebaliknya, Encik Husam Musa, seorang pemimpin parti Amanah, disebut-sebut sebagai salah seorang calon menteri besar Kelantan jika PH menang.

Kedua-dua parti ini juga masih belum lagi mengumumkan secara terbuka calon-calon yang akan bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan parlimen. Yang jelas, Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob akan terus memimpin Kelantan jika PAS menang sekali-lagi.

Apakah yang boleh dijangkakan dalam pilihanraya di Kelantan kelak?

Bolehkah PAS mengekalkan pemerintahannya di negeri tersebut, negeri yang ditadbirnya semenjak tahun 1990?

Beberapa perkembangan politik tanahair dalam masa tiga tahun kebelakangan ini telah mengubah senario politik di negeri tersebut. Antaranya adalah pemergian Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, mantan menteri besar Kelantan yang juga mursyidul am PAS, pada tahun 2015.

Tokoh tersebut amat popular di kalangan rakyat Kelantan kerana sifat peduli terhadap nasib mereka dan sifat rendah hatinya.

Pemergiannya kehilangan besar bagi PAS Kelantan. Perpecahan dalaman PAS juga bakal memberi kesan kepada politik di negeri tersebut.

Perpisahan antara golongan ulama dan profesional dalam PAS telah menyebabkan segelintir pemimpin PAS menyertai parti Amanah, yang kini sebuah parti komponen PH.

Perkembangan ini bermakna, hampir kesemua kerusi di Kelantan akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru: antara BN, PAS, dan PH.

Ramai penganalisis menjangkakan pertandingan tiga penjuru ini akan menyebelahi BN, kerana undi bagi pembangkang akan berpecah dua.

Malah PAS pula berura-ura mahu bertanding atas tiket sendiri dan tidak mahu menyertai BN atau PH.

PH pula seakan-akan mempunyai strateginya sendiri semasa bertempur dalam pilihanraya nanti.

Ia mahu meyakinkan pengundi bahawa PAS dan UMNO bersahabat. Calon perdana menteri PH, Dr Mahathir Mohamad, dalam ceramahnya menyatakan bahawa rakyat tidak harus undi PAS kerana ia mendukung perdana menteri Najib Razak. Imej PAS dan UMNO berbaik-baik menjadi tunjang kempen PH.

Baru-baru ini, ahli DUN Salor, Husam Musa, mencabar pemimpin PAS Nik Mohamed Abduh Nik Abdul Aziz untuk menafikan rakaman suara yang dikatakan mirip suaranya.

Rakaman tersebut, yang telah tersebar luas di media sosial, memaparkan perbincangan dua individu yang sedang berbincang berkenaan penerimaan wang daripada UMNO dan kejersama semasa pilihanraya di Sarawak yang lepas.

Nik Mohamed Abduh, yang merupakan anak kepada Tok Guru Nik Aziz, telah menafikan bahawa beliau menerima wang daripada UMNO.

Jelas bahawa PH tahu akan sentimen rakyat Kelantan yang tidak begitu setuju jika PAS bekerjasama erat dengan UMNO.

Semasa di bawah pemerintahan Nik Aziz (1990-2013), PAS mengkritik kuat kerajaan pusat pimpinan UMNO kerana tidak membenarkan parti Islam itu melaksanakan hukum hudud.

Tidak kurang juga yang masih ingat nasib PAS semasa bersahabat baik dengan BN sekitar tahun 19700-an, yang kemudiannya menyebabkan PAS hilang kuasa di Kelantan.

Kesudahan polemik RUU 355 juga dipersoalkan banyak pihak samada ia menguntungkan PAS ataupun tidak.

Sebelum ini, presiden PAS Abdul Hadi Awang dibenarkan untuk membentangkan usul rang undang-undang untuk memperkasakan mahkamah shariah (RUU 355).

Pemimpin-pemimpin UMNO seakan-akan setuju dengan usulan tersebut, namun kesudahannya masih kabur buat masa ini.

Persoalannya, adakah UMNO benar-benar serius untuk menerima saranan PAS, atau ia sekadar hanya mahu mencerminkan imej Islam?

Walaupun usaha PH untuk menggambarkan PAS dan BN sedang bersekongkol belum tentu membuahkan hasil.

Kos kehidupan yang tinggi masih menjadi penentu pilihanraya nanti.

Benar, beberapa dasar kerajaan pusat sering dipersalahkan oleh pembangkang bagi menyebabkan harga barangan yang tinggi, namun BN juga berusaha untuk meringankan bebanan rakyat Kelantan dengan cara lain.

Misalnya, BN telah mengadakan jualan-jualan murah yang mendapat sambutan orang ramai. Dinamakan "sentuhan rakyat", ia menjual pelbagai jenis ikan, beras, tepung, minyak dan barangan asas lain dengan harga murah.

Ini membuktikan isu harga barangan dan kos kehidupan adalah sama penting dengan isu-isu seperti identiti dan agama, yang sering dipolitikkan.

Justeru, parti-parti politik mesti mempergiat usaha untuk memastikan taraf kehidupan golongan susah di Kelantan, dan juga di negeri-negeri lain terjamin, dan tidak hanya membuat janji-janji kosong.

  • Penulis Zamil ISEAS-Yusof Ishak Institute dan Pensyarah Sambilan Jabatan Pengajian Melayu, NUS. Beliau Naib Pengerusi Yayasan Warisan Melayu. Makalah ini diterbitkan sebagai Komentar ISEAS pada 9 Mac lalu.

Video Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian