Topik diikuti
Pergi ke BHkuBritain buka sempadan kepada pelawat AS, EU yang sudah divaksin
Britain buka sempadan kepada pelawat AS, EU yang sudah divaksin
LONDON: Britain kelmarin membuka sempadannya kepada pengunjung asing dari Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) yang telah menjalani vaksinasi sepenuhnya sedang pemimpin sektor pelancongan menggesa kerajaan melonggarkan lagi sekatan dan membenarkan orang ramai menikmati faedah hasil kejayaan program inokulasi Covid-19.
Peraturan baru ini mula berkuat kuasa di tengah-tengah laporan yang kerajaan Perdana Menteri Boris Johnson mungkin menambah satu kategori baru mengikut kaedah sistem lampu trafik (merah, kuning dan hijau) bagi pelaksanaan sekatan perjalanan, satu langkah yang disifatkan pegawai industri akan membuat lebih ramai memutuskan untuk kekal berada di rumah.
Sejak Isnin lalu, pengunjung yang telah divaksinasi sepenuhnya dari destinasi dalam senarai 'kuning' Britain dibenarkan memasuki negara itu tanpa perlu menjalani kuarantin kendiri sehingga 10 hari.
Kerajaan Britain sedang menimbangkan mewujudkan satu senarai pemantauan berwarna kuning bagi memberi amaran kepada orang ramai tentang destinasi yang mungkin direndahkan tarafnya kerana kadar jangkitan yang meningkat atau kemunculan varian kuman yang baharu.
"Senarai pemantauan berwarna kuning akan dianggap sebagai satu amaran berwarna merah yang mungkin menyebabkan tempahan ke atas negara yang berada dalam senarai pemantauan itu terjejas teruk," kata Encik Huw Merriman, pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan Dewan Rakyat kepada penyiaran berita Britain, BBC.
"Pada pandangan saya, kita tidak perlu ketidaktentuan, kerumitan atau debaran untuk penumpang bagi sektor pelancongan yang terjejas teruk ini. Ia hanya memerlukan penjelasan."
Syarikat penerbangan Britain dan syarikat percutian negara itu berharap ledakan percutian musim panas selepas tempoh pandemik akan merancakkan pelancongan antarabangsa, yang sehingga kini telah menjejas keuntungan dan mengancam ribuan pekerjaan.
Jumlah penumpang yang terbang menerusi lapangan terbang Heathrow di London, lapangan terbang tersibuk di United Kingdom, merosot 75 peratus bagi separuh pertama tahun ini.
Dalam satu perkembangan lain, pihak berkuasa kesihatan Britain menggesa lebih ramai wanita hamil menerima suntikan vaksin Covid-19 selepas satu kajian nasional mendapati varian Delta boleh meningkatkan risiko untuk mendapat gejala yang lebih serius.
Bidan terbaik di England pada 30 Julai lalu menegaskan, data baru menunjukkan peningkatan gejala yang teruk dalam kalangan wanita hamil yang dimasukkan ke wad dengan gejala Covid-19.
Ketua Pegawai Perbidanan England, Cik Jacqueline Dunkley-Bent, menulis kepada pengamal perubatan am (GP) swasta dan bidan supaya menggalakkan wanita hamil mendapatkan vaksinasi.
Katanya, ia penting demi melindungi nyawa ibu dan anak dalam kandungan.
Kolej Diraja Perbidanan dan Sakit Puan (RCOG) dan Kolej Bidan Diraja (RCM) turut mengesyorkan vaksinasi untuk wanita hamil.
Pihak Kesihatan Awam England berkata, pihaknya mengesyorkan mereka mendapatkan vaksin Moderna dan Pfizer kerana ia telah diberikan kepada lebih 130,000 wanita hamil di Amerika Syarikat. - Agensi berita.