LONDON: Kerajaan United Kingdom (UK) mengumumkan pengurangan dramatik dalam 'senarai merah' bagi perjalanan Covid-19, dengan membatalkan larangan untuk warga asing mengembara ke England dari 47 negara.
Di bawah peraturan baru yang akan berkuat kuasa mulai jam 3 pagi waktu GMT, Isnin depan, hanya tujuh negara masih kekal dalam sekatan terbabit.
Terdapat banyak negara yang mempunyai tahap jangkitan tinggi dimasukkan dalam senarai merah.
Tujuh negara itu ialah Colombia, Republik Dominican, Ecuador, Haiti, Panama, Peru dan Venezuela.
Dengan 47 negara dan wilayah dikeluarkan daripada 'senarai merah' itu, termasuk Brazil, Mexico serta Afrika Selatan, maka pengembara terbabit tidak lagi dikehendaki menjalani kuarantin di hotel.
Setiausaha Pengangkutan UK, Grant Shapps, berkata langkah itu dapat dilaksanakan berikutan 'peningkatan usaha vaksinasi di seluruh dunia.'
Beliau juga telah mempermudah peraturan untuk negara-negara seperti India, Turkey dan Ghana, yang bermaksud status vaksinasi ketibaan akan diakui.
Kerajaan turut mengumumkan kebenaran bagi ketibaan kembali pengembara yang sudah divaksin, diperluaskan kepada 37 negara dan wilayah lagi, termasuk India dan Turkey.
Ia bermakna individu lengkap vaksinasi yang memasuki England dari 37 lokasi terbabit, akan dikecualikan daripada kuarantin, ujian Covid-19 prapelepasan dan saringan pascaketibaan.
Warga Britain dan Ireland serta mereka yang tinggal di UK, dibenarkan pulang dari negara dalam 'senarai merah' itu tetapi wajib menjalani kuarantin di hotel selama 10 hari sebaik saja tiba.
Kerajaan UK di London menetapkan dasar kesihatan dan pengangkutan untuk England sahaja.
Parlimen di Scotland, Wales serta Ireland Utara pula menetapkan dasar perjalanan Covid-19 bagi wilayah masing-masing.
Bagaimanapun, mereka telah mengikut kebanyakan perubahan peraturan untuk England sebelum ini.
Industri pelancongan Britain mengalami kerugian pada dua musim panas yang lalu susulan pelaksanaan sekatan perjalanan bagi membendung Covid-19.
Syarikat penerbangan seperti Ryanair dan easyJet berpendapat, pendekatan dan sekatan yang sering berubah melambatkan pemulihan dalam sektor itu dan menjadikan industri Britain ketinggalan berbanding negara lain di Eropah.
Dalam perubahan selanjutnya, penumpang dapat mengirim gambar hasil saringan kendiri Covid-19 untuk mengesahkan ketepatan ujian setelah keperluan beralih dari ujian PCR yang lebih mahal kepada ujian kendiri.
Encik Shapps berkata, mengembalikan keyakinan warga terhadap perjalanan adalah kunci untuk membina semula ekonomi. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg