LONDON: Britain meluluskan rang undang-undang yang bertujuan mewujudkan “generasi bebas asap rokok” dengan melarang penjualan dan pembekalan produk tembakau serta vape kepada individu yang lahir pada 2009 dan selepasnya.

Rang undang-undang itu diluluskan Parlimen pada 21 April dan dijangka berkuat kuasa dalam masa terdekat selepas mendapat perkenan rasmi Raja Charles.

Langkah itu menghalang sesiapa yang lahir selepas 1 Januari 2009 – yang kini berusia 17 tahun ke bawah – daripada mula merokok dan tidak dibenarkan membeli rokok sepanjang hayat mereka.

Ahli Parlimen berkata undang-undang tersebut akan menyebabkan had umur pembelian rokok meningkat secara berperingkat mengikut usia kumpulan sasaran.

Pendekatan itu dilihat sebagai strategi jangka panjang untuk menghapuskan tabiat merokok dalam kalangan generasi baharu.

Setiausaha Kesihatan Britain, Encik Wes Streeting, berkata langkah itu bertujuan melindungi golongan muda daripada ketagihan.

“Mereka akan menjadi sebahagian daripada generasi pertama bebas asap rokok, dilindungi daripada ketagihan dan kesan buruk sepanjang hayat,” katanya.

Beliau menambah: “Pencegahan lebih baik daripada rawatan.”

Undang-undang ini akan memberi kuasa kepada kerajaan untuk meluaskan larangan merokok di dalam bangunan ke kawasan luar seperti taman permainan kanak-kanak serta kawasan di luar sekolah dan hospital.

Selain larangan jualan, undang-undang itu turut memperkenalkan syarat baharu termasuk lesen dan pendaftaran peruncit, kawalan iklan serta sekatan tambahan terhadap penggunaan rokok dan vape di tempat awam.

Kerajaan menyifatkan produk tembakau sebagai punca utama masalah kesihatan yang boleh dicegah, dan langkah itu diharap dapat mengurangkan tekanan terhadap sistem kesihatan awam Britain.

Kerajaan Parti Buruh pada Jun 2025 memperkenalkan larangan penjualan vape pakai buang yang murah dan diniagakan dalam pembungkusan berwarna-warni sehingga popular dalam kalangan golongan muda.

Menurut data rasmi, kira-kira 5.3 juta orang dewasa di Britain masih merokok, mewakili lebih 10 peratus penduduk dewasa.

Merokok menyebabkan sekitar 64,000 kematian setiap tahun dan kekal sebagai punca utama kematian, kecacatan dan penyakit yang boleh dicegah di negara itu.

Kos keseluruhan kepada ekonomi Britain dianggar mencecah hampir AS$29 bilion ($36 bilion) setahun, termasuk kehilangan produktiviti dan perbelanjaan kesihatan.

Seorang pegawai kesihatan berkata kesan sosial juga amat ketara.

“Perbelanjaan terhadap tembakau turut menyumbang kepada kemiskinan, dengan ratusan ribu isi rumah terjejas,” katanya.

Laporan menunjukkan majoriti perokok di Britain sebenarnya mahu berhenti, dengan tiga perempat daripada mereka mengakui menyesal kerana mula merokok.

Kerajaan menegaskan bahawa ketagihan bukanlah satu pilihan.

“Ketagihan bukan sesuatu yang dipilih secara sedar,” tambah penilaian rasmi kementerian kesihatan.

Namun, langkah itu dijangka berdepan cabaran daripada industri tembakau dan peruncit, seperti yang berlaku di negara lain.

Rang undang-undang ini merupakan antara larangan merokok berasaskan generasi yang paling signifikan di dunia.

New Zealand sebelum ini melaksanakan langkah serupa pada 2022 sebelum dibatalkan setahun kemudian, manakala Maldives telah melaksanakan larangan untuk generasi muda sejak 2025.

Seorang penganalisis dasar kesihatan berkata kejayaan Britain bergantung kepada ketegasan pelaksanaan.

“Undang-undang ini berpotensi mengubah landskap kesihatan awam, tetapi hanya jika penguatkuasaan dilakukan secara tekal dan bebas daripada tekanan industri,” katanya.