Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Britain saksi istiadat pertabalan pertama dalam tempoh 70 tahun

May 7, 2023 | 5:30 AM
MAHKOTA: Raja Charles III (duduk) menerima Mahkota St Edward semasa upacara pertabalannya di Biara Westminster, London. - Foto REUTERS
MAHKOTA: Raja Charles III (duduk) menerima Mahkota St Edward semasa upacara pertabalannya di Biara Westminster, London. - Foto REUTERS -

RAJA Britain, Raja Charles III, telah ditabalkan di Biara Westminster London pada Sabtu dalam upacara pertabalan penuh istiadat yang dikendalikan Uskup Agung Canterbury, Justin Welby, serta disaksikan jutaan masyarakat dunia, lapor agensi berita Jerman, DPA.

Laungan "God Save the King" kedengaran di sekitar biara selepas Mahkota St Edward yang diperbuat daripada emas padu dimahkotakan ke atas Raja Charles oleh Uskup Agung Welby.

Ia adalah pertabalan pertama Britain dalam tempoh 70 tahun dan diadakan selepas lapan bulan kemangkatan Ratu Elizabeth II pada usia 96 tahun.

Istiadat ini menghimpunkan kira-kira 100 ketua negara, raja dan permaisuri dari seluruh dunia, selebriti, wira dan keluarga serta rakan Raja Charles dan Ratu Camilla, dengan Duke of Sussex, Putera Harry, turut hadir.

Seramai 7,000 tentera berbaris dalam 19 kumpulan berasingan bagi satu perarakan pertabalan yang terbesar sejak pertabalan Ratu Elizabeth II pada 1953.

Upacara itu diakhiri dengan keluarga diraja tampil di balkoni sambil melambai-lambai kepada orang ramai yang berhimpun di situ.

Presiden Halimah Yacob menghadiri upacara pertabalan Raja Charles dan Ratu Camilla.

Dalam kawatnya kepada Raja Charles, Puan Halimah berkata:

"Mendiang Ratu Elizabeth II telah meninggalkan legasi dedikasi yang dihargai bagi memberi khidmat kepada warga Britain serta masyarakat di Komanwel dan dunia.

"Saya yakin di bawah kepimpinan Raja Charles III, United Kingdom (UK) akan terus mendalami kerjasama yang sekian lama terbina dengan Singapura.

"Peristiwa penting terkini seperti Rangka Kerja Ekonomi Hijau UK-Singapura akan menghasilkan lebih banyak peluang bagi negara kita bekerjasama lebih rapat lagi untuk membangun huraian inovatif bagi menangani cabaran iklim bersama.

"Saya yakin bahawa dalam era Carolean ini, UK akan terus maju dalam keamanan dan kestabilan berkekalan di bawah kepimpinan Raja Charles III."

Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, dalam kawatnya kepada Raja Charles pula berkata khidmat setia dan cemerlang itu sudah disumbangkan kepada UK dan Komanwel sejak bergelar Putera Wales lagi.

"Dalam zaman yang tidak pasti dan tidak menentu ini, institusi Monarki kekal sebagai simbol kestabilan dan keselamatan.

"UK adalah rakan kerjasama penting bagi Singapura. Kita mempunyai kerjasama yang cemerlang dalam bidang seperti pertahanan, penyelidikan dan pendidikan.

"Kita terus memburu laluan baru bagi kerjasama, daripada kerjasama digital kepada menangani perubahan iklim.

"Sedang kita meraikan ketibaan era Carolean baru di bawah kepimpinan Raja Charles III, saya yakin hubungan antara negara kita akan sampai ke tahap lebih tinggi lagi," jelas Encik Lee.

Tetamu jemputan lain termasuk pasangan selebriti David dan Victoria Beckham; pemuzik Lionel Richie; Raja Willem-Alexander dan Ratu Maxima dari Belanda; Perdana Menteri Britain, Encik Rishi Sunak; dan Wanita Pertama Amerika Syarikat, Cik Jill Biden.

Sejajar dengan pertabalan Raja Charles, Suruhanjaya Tinggi Britain di Singapura turut menjadi tuan rumah bagi acara resepsi pertabalan Raja Charles pada 4 Mei lalu di Eden Hall, kediaman rasmi Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Singapura sejak 1965.

Pada Ahad pula, buat kali pertama Eden Hall mengadakan sesi jelajah rumah terbukanya mulai 11 pagi hingga 3.30 petang.

Menteri Perhubungan dan Penerangan merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Cik Josephine Teo, menghadiri majlis resepsi berkenaan bersama masyarakat Singapura, Britain dan antarabangsa.

Ketika bergelar Putera Wales, Raja Charles melawat Singapura secara rasmi pada 1979 dan 2017.

Mengulas tentang acara rumah terbuka di Eden Hall, Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Singapura, Cik Kara Owen, berkata:

"Mereka yang mengunjungi Eden Hall akan mempunyai kenangan peribadi kunjungan Raja Charles ke Singapura pada 1979 dan 2017.

"Mereka mungkin ingat akan kemesraan Raja Charles terhadap warga Singapura dan kepentingan yang beliau terapkan pada persahabatan akrab kita dan keupayaan untuk belajar daripada satu sama lain."

"Mendiang Ratu Elizabeth II telah meninggalkan legasi dedikasi yang dihargai bagi memberi khidmat kepada warga Britain serta masyarakat di Komanwel dan dunia. Saya yakin di bawah kepimpinan Raja Charles III, United Kingdom (UK) akan terus mendalami kerjasama yang sekian lama terbina dengan Singapura. Peristiwa penting terkini seperti Rangka Kerja Ekonomi Hijau UK-Singapura akan menghasilkan lebih banyak peluang bagi negara kita bekerjasama lebih rapat lagi untuk membangun huraian inovatif bagi menangani cabaran iklim bersama. Saya yakin bahawa dalam era Carolean ini, UK akan terus maju dalam keamanan dan kestabilan berkekalan di bawah kepimpinan Raja Charles III." - Presiden Halimah Yacob.

"Dalam zaman yang tidak pasti dan tidak menentu ini, institusi Monarki kekal sebagai simbol kestabilan dan keselamatan. UK adalah rakan kerjasama penting bagi Singapura. Kita mempunyai kerjasama yang cemerlang dalam bidang seperti pertahanan, penyelidikan dan pendidikan. Kita terus memburu laluan baru bagi kerjasama, daripada kerjasama digital kepada menangani perubahan iklim. Sedang kita meraikan ketibaan era Carolean baru di bawah kepimpinan Raja Charles III, saya yakin hubungan antara negara kita akan sampai ke tahap lebih tinggi lagi." - Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg