KENTUCKY (Amerika Syarikat): Mikhy Farrera Brochez, warga Amerika Syarikat yang dikehendaki di Singapura kerana membocorkan maklumat peribadi individu yang mempunyai HIV dalam talian, telah didakwa di mahkamah Kentucky.
Dia didakwa kerana memiliki dan memindahkan dokumen pengenalan peribadi yang dicuri secara terlarang, umum Jabatan Kehakiman Amerika semalam (22 Februari).
Menerusi satu kenyataan media, Jabatan Kehakiman berkata Brochez didakwa menyusuli siasatan Biro Siasatan Federal (FBI).
Penguatkuasa undang-undang federal menuduh Brochez memiliki dokumen pengenalan peribadi yang dicuri termasuk rekod perubatan 14,200 individu yang mempunyai HIV.
“Ketika menginap di wilayah timur Kentucky, Farrera-Brochez telah menghantar pautan data daripada akaun emelnya kepada beberapa agensi berita.
“Dia juga menghantar emel kepada beberapa pegawai pemerintah di Singapura yang mengandungi pautan data tersebut,” kata Pejabat Peguam AS, wilayah timur Kentucky.
Brochez dinamakan oleh Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura bulan lalu sebagai orang yang membocorkan maklumat peribadi 14,200 individu yang dijangkiti HIV secara dalam talian.
Brochez telah menolak dakwaan itu.
Dia dijadual muncul di mahkamah federal di Lexington pada 27 Februari nanti.