RABAT: Seorang budak lelaki yang terperangkap dalam perigi di utara Maghribi selama lima hari meninggal dunia sebelum pasukan penyelamat mampu menghampirinya dan menarik keluar mayatnya sekitar lewat kelmarin, jelas dua pegawai kerajaan.
Klip video yang dimuatnaikkan ke media sosial menunjukkan senario selepas mayatnya ditemui dengan ratusan pekerja penyelamat dan orang ramai yang bersedih di lokasi menghimpun doa buatnya sambil memancar lampu suluh daripada telefon bimbit mereka.
Rayan Awram, lima tahun, terjatuh ke dalam perigi di kampungnya, Ighran, di kawasan bukit-bukau berhampiran Chefchaouen Selasa lalu, lantas mencetus usaha menyelamat besar-besaran yang mendapat perhatian negara.
Pasukan penyelamat akhirnya menghampiri Rayan lewat kelmarin selepas menggali sebanyak mungkin di kawasan bukit berhampiran dan membuat terowong sebagai laluan memasuki telaga itu.
Raja Mohammed mengirim ucap takziah kepada ibu bapa Rayan, jelas satu kenyataan media.
Telaga itu hanya seluas 45 sentimeter di bahagian atas dan semakin mengecil sehingga sedalam 32 meter, ruang di mana Rayan terperangkap, lantas membuatkan ia mustahil bagi pasukan penyelamat untuk turun langsung untuk menyelamatkannya.
Seorang saudara lelaki budak itu Jumaat lalu berkata keluarga Rayan menyedari dia hilang apabila mereka terdengar suara budak menangis dan memancarkan cahaya dan kamera pada telefon bimbit untuk mencarinya di telaga itu.
Saudaranya itu berkata Rayan minta diangkat keluar dari telaga itu dan menangis tersedu-sedan. - Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg