
BINTULU (Sarawak): Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan, Datuk Seri Tiong King Sing, membidas dakwaan pesuruhjaya Parti Parti Islam SeMalaysia (PAS) Sarawak, Encik Jofri Jaraiee, yang mengatakan pembukaan sebuah kasino di Sarawak lebih membawa keburukan bagi negeri itu.
Dalam satu kenyataannya, Datuk Tiong berkata pemimpin PAS sering menggunakan agama apabila membuat kenyataan yang mengancam keharmonian masyarakat berbilang agama dan kaum di negara ini semata-mata ingin menjadi popular.
"Tindakan seperti itu adalah berbahaya dan boleh mencetuskan perpecahan di kalangan masyarakat," kata beliau, sambil menambah bahawa ia boleh merumitkan lagi usaha kerajaan mewujudkan kemajuan yang meluas di Sarawak.
Datuk Tiong dipetik oleh akhbar Malay Mail, mengulas kenyataan Encik Jofri yang mengatakan saranan membuka kasino di Sarawak harus ditentang kerana ia lebih membawa keburukan.
Sebagai orang Sarawak, Datuk Tiong berkata beliau juga memikul tanggungjawab yang lebih besar di peringkat kementerian persekutuan bagi mewujudkan kemajuan di negara ini.
"Pendirian saya cukup jelas berhubung saranan pembinaan sebuah taman permainan dan padang golf termasuk sebuah kasino di di Tanah Besar Borneo, dan terserah kepada kerajaan negeri pimpinan Perdana Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Openg, seperti yang dinyatakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif, dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah," ujar beliau.
Datuk Tiong yakin adanya taman permainan dan padang golf, termasuk sebuah kasino di Borneo, boleh memajukan lagi sektor pelancongan di Sarawak, mewujudkan peluang pekerjaan, memacu ekonomi tempatan dan menjana lebih banyak hasil pendapatan bagi Sarawak.
"Sebaik sahaja rancangan ini disahkan dan dilaksanakan, kemudahan-kemudahan asas dan daya tarikan pelancongan di sekitar kawasan tersebut akan diperbaiki.
"Sudah tentu, kerajaan Sarawak juga boleh menggunakan hasil pendapatan ini untuk membangun kawasan-kawasan luar bandar.
"Jika ia boleh mewujudkan suasana ekonomi yang lebih baik untuk rakyat, mengapa ia harus dihalang atau dibantah?" kata beliau.
Datuk Tiong berkata projek yang disarankan untuk pembangunan masa depan bagi rakyat Sarawak itu adalah juga bagi memenuhi hasrat masyarakat luar bandar bagi mendapatkan kemudahan asas.
Beliau menarik perhatian bahawa penduduk luar bandar layak mendapatkan kemudahan yang sama seperti yang dinikmati oleh penduduk di kawasan-kawasan bandar, termasuk prasarana jalan yang baik.
"Ini harus diperbaiki dan satu-satu caranya adalah dengan menaikkan hasil pendapatan negeri demi memenuhi jangkaan rakyat."
Datuk Tiong berkata jika ada sesiapa yang khuatir dengan adanya sebuah kasino yang boleh mengakibatkan masalah sosial, maka penyeliaan yang betul harus disediakan, seperti membenarkan warga asing berkunjung ke kasino pada bila-bila masa.
"Jika mereka orang tempatan, mereka harus mematuhi peraturan tertentu yang difikirkan perlu untuk dikuatkuasakan." ujar Datuk Tiong.
Beliau berkata walaupun Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum dan agama, terdapat juga pemimpin politik yang berfikiran dan bersikap konservatif lebih daripada di Timur Tengah .
"Banyak negara di Timur Tengah sudah beransur menuju ke arah kesederhanaan. Contohnya, Amiriah Arab Bersatu (UAE), yang akan menjadi tuan rumah bagi peraduan Ratu Cantik Sedunia 2023, dan terdapat juga kasino mewah di Timur Tengah.
"Jadi apakah Malaysia, terutama Sarawak, tidak berhak untuk dimajukan?" kata beliau. - Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg