Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

'Bukti komitmen Kerajaan Perpaduan lindungi kesucian Islam'

May 19, 2023 | 5:30 AM
f80702cb-5951-406a-afbb-0bf7aaaf874d
-

KUALA LUMPUR: Keputusan untuk mempersembahkan cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah 'Allah' kepada Majlis Raja-Raja membuktikan komitmen Kerajaan Perpaduan melindungi kesucian Islam di samping memperkuat perpaduan dan keharmonian antara kaum dan agama di Malaysia.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus, berkata ia juga memberi peluang untuk memperkemaskan lagi dasar sedia ada berkaitan penggunaan kalimah itu selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Usaha kerajaan ini (persembahkan cadangan) membuktikan Kabinet tidak berkompromi dalam mempertahankan kesucian Islam dan kedaulatan undang-undang atau enakmen berkaitan agama Islam di negeri-negeri.

"Ini akan menjadikan penguatkuasaan terhadap penggunaan kalimah-kalimah tertentu yang hanya boleh digunakan oleh orang Islam dapat diperkemas dan dikuatkuasakan dengan sebaiknya," katanya, lapor Malaysiakini.

Beliau yakin apabila kerajaan membentangkan dokumen mengenai cadangan berkenaan, penguatkuasaannya akan lebih tegas dan jelas tanpa mengetepikan hak serta kebebasan individu bukan Islam untuk mengamalkan agama masing-masing.

"Kita tak boleh menafikan mungkin ada kelonggaran dalam penguatkuasaan oleh pihak yang diberikan kuasa, jadi melalui cadangan itu nanti, Kabinet akan beri teguran dan nasihat kepada mereka (pihak berkuasa).

"Kerajaan berada dalam laluan yang betul, untuk membetulkan kekeliruan dan bukti ada kebebasan orang bukan Islam mengamalkan agama masing-masing, tetapi juga 'amaran' bahawa mereka (bukan Islam) tidak boleh sebarkan agama (mereka) kepada orang yang tak sepatutnya," katanya.

Terdahulu, Kabinet pada Khamis telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ahmad Shah, untuk mempersembahkan cadangan mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah 'Allah' kepada Majlis Raja-Raja.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata dalam satu kenyataan bahawa kerajaan Malaysia akan sentiasa mempertahan Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara 3 berhubung agama Islam adalah agama Persekutuan dan agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.

Perkara itu antara yang dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri pada Khamis berhubung keputusan Peguam Negara untuk menarik balik rayuan terhadap kes Jill Ireland Lawrence Bill berhubung bahan penerbitan yang mengandungi kalimah 'Allah'.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg