Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Cabaran rakyat M'sia sara hari tua pascapandemik

Nov 16, 2021 | 05:30 AM



KESUKARAN rakyat Malaysia mengharungi cabaran hidup sepanjang tempoh dua tahun pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini kelihatannya amat mengesankan.



Menyedari keadaan ini, pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memperuntukkan perbelanjaan RM332.1 bilion ($108 bilion) - peruntukan tertinggi dalam sejarah belanjawan negara itu.



Menerusi pakej Belanjawan bertemakan 'Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera' itu, pelbagai inisiatif, program dan bantuan disediakan untuk membolehkan 32.7 juta rakyat di seberang Tambak dan Borneo itu bangkit dan meneruskan kehidupan dengan lebih baik sedang ekonomi negara menjalani fasa pemulihan.



Bagaimanapun, bantuan kewangan yang diumumkan menerusi pembentangan Belanjawan itu dirasakan tidak mencukupi buat sebahagian golongan pekerja dewasa.



Disebabkan itu, mantan perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, menggesa kerajaan agar membenarkan rakyat membuat pengeluaran lebih tinggi dari RM5,000 ($1,624) kepada RM10,000 ($3,248) dari akaun i-Citra dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka.



KWSP adalah serupa Tabung Simpanan Pekerja (CPF) yang digunakan di sini - tabung caruman pekerja bagi simpanan untuk digunakan pekerja untuk menyara hidup setelah bersara kelak.



Terang Datuk Najib semasa perbahasan di Dewan Rakyat pada 1 November lalu, langkah ini "tidak boleh disifatkan sebagai langkah populis, tetapi berpunca dari keperluan mendesak rakyat".



Malah, ia mendapat sokongan kuat Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, yang menyatakan, ia merupakan permintaan lebih 56 peratus rakyat Malaysia yang masih punya simpanan melebihi RM10,000 dalam KWSP.



"... terutamanya di kalangan M40 ke atas untuk mereka memulakan kehidupan baru pasca pandemik dengan pelbagai komitmen tertunggak yang perlu dilangsaikan," katanya.



M40 merupakan golongan pertengahan yang rata-rata menikmati gaji dan pendapatan isi rumah antara RM4,851 sebulan sehingga RM10,970 sebulan untuk tahun ini.



Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, ditukil Berita Harian Malaysia (BHM), telah menarik perhatian bahawa 46 peratus ahli yang berusia di bawah 55 tahun hanya mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam simpanan mereka.



"Pandemik ini mengakibatkan kejatuhan yang ketara dalam peratusan ahli yang mencapai Simpanan Asas (RM240,000 pada 55 tahun) daripada 36 peratus kepada 27 peratus, susulan daripada pengeluaran yang dibuat bagi menampung pendapatan mereka ketika krisis Covid-19," katanya.



Menurutnya, walaupun pandemik koronavirus ini telah mencetuskan peningkatan jumlah pekerja gig di negara ini dan membantu mereka untuk bertahan, bagaimanapun masih ramai berdepan dengan masalah ketidakcukupan simpanan persaraan akibat pendapatan yang tidak tetap atau stabil.



Umum ketahui pekerjaan dalam ekonomi gig walaupun kelihatan stabil, tidak memberi faedah dan liputan perlindungan sosial sewajarnya.



KWSP dalam kenyataannya pada 31 Oktober lalu mendedahkan, langkah itu mengakibatkan RM101 bilion telah dikeluarkan dan disalurkan kepada 7.4 juta ahli.



Meskipun pengeluaran wang ini memberi kelegaan kepada ahli, ia bagaimanapun telah menyebabkan seramai 6.1 juta ahli kini mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun mereka, kata KWSP.



Daripada jumlah tersebut, seramai 3.6 juta mempunyai kurang daripada RM1,000, seterusnya menjadikan mereka lebih rentan dan tanpa perlindungan persaraan.



"Ia meskipun pengeluaran tersebut telah memberikan sedikit kelegaan kewangan kepada ahli semasa pandemik dan pelbagai peringkat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).



"Kejatuhan dalam jumlah simpanan ini ternyata lebih merisaukan untuk ahli bumiputera, memandangkan seramai 78 peratus, atau lebih tiga perempat, telah memohon untuk fasiliti pengeluaran tersebut.



"Akibatnya, seramai 4.4 juta, atau 54 peratus, ahli bumiputera kini mempunyai kurang daripada RM10,000, dan 2 juta, atau 25 peratus, mempunyai kurang daripada RM1,000," jelas kenyataan tersebut.



KWSP menganggarkan ahlinya perlu bekerja antara empat hingga enam tahun tambahan untuk membina semula simpanan yang telah dikeluarkan semasa pandemik, setelah mengambil kira dividen terjamin - sekurang-kurangnya 2.5 peratus setahun, tetapi secara konsisten menawarkan kadar dividen melebihi 5 peratus sejak 2009.



Meskipun mencabar, namun, keadaan ekonomi Malaysia menunjukkan keadaan lebih baik.



Ini setelah kadar pengangguran di negara itu terus berkurangan kepada 4.5 peratus membabitkan 729,600 penganggur pada September lalu berbanding 4.6 peratus pada bulan sebelumnya, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).



Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata kedudukan tenaga buruh bertambah baik pada September dengan bilangan guna tenaga yang terus meningkat, manakala pengangguran dalam trend yang menurun.



Beliau berkata, peralihan lebih banyak negeri ke fasa berikutnya dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) membenarkan lebih banyak aktiviti perniagaan untuk beroperasi, dengan waktu operasi perniagaan dilanjutkan. - BHM.




"Pandemik ini mengakibatkan kejatuhan yang ketara dalam peratusan ahli yang mencapai Simpanan Asas (RM240,000 pada 55 tahun) daripada 36 peratus kepada 27 peratus, susulan daripada pengeluaran yang dibuat bagi menampung pendapatan mereka ketika krisis Covid-19."
- Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >