MEREKA bukan nama besar seperti dua calon lain yang berentap dalam pertandingan empat penjuru bagi kerusi Parlimen Tambun di Perak.
Namun, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Aminuddin Md Hanafiah, serta calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Encik Abdul Rahim Tahir, yang akan bertanding di kawasan Parlimen itu tidak gentar berdepan dengan dua nama besar itu untuk menawan hati pengundi Tambun yang mempunyai 160,558 pengundi.
Datuk Aminuddin yakin politik perkhidmatan yang diamalkannya akan meraih sokongan pengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
Pengerusi BN Tambun itu akur beliau menyertai pertembungan itu sebagai calon 'underdog' namun percaya akan segala perkhidmatan yang sudah lama diberikan kepada penduduk Tambun.
Tambahnya, beliau juga yakin pengundi bijak memilih wakil rakyat yang boleh memberi perkhidmatan berbanding wakil rakyat bersifat retorik.
"Kita adalah 'underdog', kita sedar.
"Tapi pada masa yang sama, (Tambun) merupakan kawasan di mana kami telah lama berkecimpung dan membantu masyarakat," ujarnya.
Sebelum ini, Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, juga berkata jentera Umno dan BN telah lama menjalankan persiapan untuk berlawan habis-habisan dengan sesiapa sahaja termasuk calon nama besar daripada parti pembangkang.
Bercakap kepada Berita Harian, Encik Abdul Rahim berkata kempen mereka akan memberi tumpuan kepada usaha menyeru pengundi keluar mengundi untuk meraikan demokrasi.
"Itu yang akan kita amalkan sepanjang 14 hari tempoh berkempen ini.
"Insya-Allah dengan peratusan tinggi mereka yang keluar mengundi, saya yakin kita akan mempunyai undi yang mencukupi untuk menang dalam PRU15 ini," ujarnya.
Tambahnya, dengan pelaksanaan Undi18, Encik Abdul Rahim yakin beliau sekurang-kurangnya berpeluang memberi saingan sengit kepada tiga calon lain yang turut bertanding di Tambun.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg