Topik diikuti
Pergi ke BHkuCalon Demokrat hampir jawat Speaker kulit hitam pertama Dewan Perwakilan AS
Calon Demokrat hampir jawat Speaker kulit hitam pertama Dewan Perwakilan AS
WASHINGTON: Encik Hakeem Jeffries bersedia untuk mengambil langkah besar pada 18 November ke arah menjadi Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat berkulit hitam yang pertama, tatkala parti Demokrat memilih pemimpin mereka susulan kemenangan besar dalam pilihan raya pertengahan penggal.
Ahli politik dari New York berusia 56 tahun itu nampaknya tidak berdepan sebarang pencabar dalam undian tertutup parti, meletakkannya di landasan yang tepat untuk mengetuai majoriti Demokrat yang berkuasa sepanjang dua tahun terakhir penggal Presiden Amerika, Encik Donald Trump.
Namun, pencapaian bersejarah ini hadir bersama amaran daripada kumpulan sayap kiri parti bahawa memenangi pilihan raya adalah satu perkara, mencapai kata sepakat mengenai cara menggunakan kuasa adalah satu perkara yang sama sekali berbeza.
Undian yang bakal berlangsung pada 18 November itu mencalonkan Encik Jeffries, yang kini mengetuai minoriti Demokrat di Dewan Perwakilan, sebagai calon parti bagi jawatan speaker.
Bagaimanapun, beliau masih perlu memenangi undian rasmi seluruh Dewan apabila Kongres baharu bersidang pada 3 Januari tahun depan.
Kedua-dua anggota Demokrat yang kembali berkhidmat dan anggota yang baru dipilih berhak bersuara dalam pencalonan tersebut, termasuk golongan progresif yang menuntut konsesi daripada Encik Jeffries.
Tidak seperti pemilihan rasmi untuk Speaker pada Januari nanti, undian ini hanya terhad kepada partinya sendiri.
Sekutu Encik Jeffries berharap beliau akan dipilih tanpa undian yang direkodkan – sepertimana Cik Nancy Pelosi sebelum beliau menjadi Speaker wanita pertama pada 2007.
Namun, beberapa ahli progresif menuntut konsesi mengenai isu-isu yang merangkumi sokongan Amerika terhadap Israel, serta pengaruh wang dalam politik Amerika.
Perbezaan pendapat itu mungkin tidak menggagalkan Encik Jeffries, yang penyokongnya telah berkempen dalam kalangan rakan sejawat dan menemui penggubal undang-undang baharu untuk mengukuhkan majoriti yang sudah pun bertambah akibat kekalahan Parti Republikan.
Encik Jeffries sendiri berusaha mempamerkan keyakinan sambil berjanji untuk mendengar pandangan pelbagai kumpulan dalam parti.
“Kami akan berjuang untuk menjadikan negara ini mampu milik,“ katanya dalam sidang akhbar pada pertengahan November lalu.
Encik Jeffries dibesarkan di kejiranan Crown Heights di Brooklyn dan pernah bekerja sebagai peguam, sebelum menyertai badan perundangan negeri New York pada 2007 dan Kongres pada 2013.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai salah seorang pendakwa raya semasa perbicaraan melibatkan pendakwaan pertama terhadap Encik Trump di Senat pada 2020. – AFP.