BANGKOK: Kelihatan segar selepas melahirkan anak dua hari lalu, Cik Paetongtarn Shinawatra, calon utama bagi jawatan perdana menteri Thailand, berkata pada Rabu beliau sudah bersedia untuk kembali berkempen, dan yakin Parti Pheu Thai akan mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya pada 14 Mei ini.
Menurut laporan The Straits Times, ibu kepada dua anak itu menyifatkan anak-anaknya sebagai "kuasa rahsia" dan mengesahkan beliau akan berucap di rapat umum parti pada 12 Mei ini.
Kehadiran beliau di rapat umum yang lain, bergantung kepada keadaan kesihatan anak lelakinya yang baru dilahirkan itu.
Beliau bercakap kepada para wartawan di Rumah Sakit Praram 9, di Bangkok, selepas melahirkan anak keduanya.
Dengan ditemani suaminya, Encik Pidok Sooksawas, juruterbang penerbangan komersial, Cik Paetongtarn menunjukkan bayinya kepada wartawan yang berkerumun di sampingnya.
Ibunya, Cik Potjaman Na Pombejra dan kakaknya, Cik Pintongta Shinawatra, turut berada di hospital itu.
Cik Paetongtarn, 36 tahun, adalah anak perempuan mantan perdana menteri Thailand, Encik Thaksin Shinawatra, yang digulingkan dalam satu rampasan kuasa tentera pada 2006, kini tinggal di luar negara sejak 2008, bagi mengelakkan daripada dipenjara atas tuduhan rasuah, yang menurutnya dakwaan itu bermotifkan politik.
Ibu saudaranya pula, Cik Yingluck Shinawatra, merupakan seorang lagi mantan perdana menteri, disingkirkan sejurus sebelum pentadbirannya digulingkan dalam satu lagi rampasan kuasa tentera pada 2014.
Cik Yingluck juga hidup dalam buangan di luar negara.
Sehingga hujung bulan April 2023, Cik Paetongtarn masih lagi sempat berkempen bagi parti Pheu Thai, yang mendahului parti-parti lain dalam tinjauan pendapat menjelang pilihan raya ini.
Dalam tinjauan pendapat itu, Cik Paetongtarn juga berada di hadapan atau yang kedua paling popular sebagai calon perdana menteri.
Beliau dikatakan bersaing dengan pemimpin parti Move Forward, Encik Pita Limjaroenrat, dan meninggalkan jauh ke belakang, Perdana Menteri Encik Prayut Chan-o-cha dari parti United Thai Nation.
Parti Pheu Thai telah menamakan dua calon bagi jawatan perdana menteri - seorang hartawan pemaju hartanah, Encik Srettha Thavisin, 60 tahun, dan strategis parti itu, Encik Chaikasem Nitisiri, 74 tahun.
Ketika ditanya wartawan, siapakah di antara tiga calon itu yang akan menjadi perdana menteri, Cik Paetongtarn tersenyum lebar dan berkata: "Ketiga-tiganya sudah bersedia."
Parti Pheu Thai adalah pengganti parti Thai Rak yang diasaskan oleh Encik Thaksin, yang telah menang dalam tiga pilihan raya sebelumnya sejak 2001, sebelum dibubarkan atas dakwaan penipuan semasa pilihan raya.
Rusuhan yang berlaku sebelum Cik Yingluck disingkirkan pada 2014, berpunca daripada percubaan parti Pheu Thai untuk segera meluluskan Rang pengampunan yang akan membolehkan Encik Thaksin kembali ke Thailand dan tidak perlu menjalani hukuman penjara.
Encik Thaksin berkata dalam satu wawancara pada Mac lalu, beliau merancang untuk pulang ke Thailand, tanpa meminta pengampunan.
Pada Isnin lalu, Encik Thaksin, hartawan yang hidup dalam pelarian itu, menyuarakan rasa gembira mendapat cucu yang ketujuh.
Beliau yang akan berusia 74 tahun pada Julai ini, berkata akan meminta "keizinan" untuk pulang dan menjaga cucu-cucunya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg