Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lima perkara tarik perhatian jelang hari mengundi

Mar 10, 2022 | 5:30 AM
CALON YANG DISEBUT SEBAGAI BAKAL MENTERI BESAR BARU - DATUK HASNI MOHAMMAD: Pengerusi BN Johor.
CALON YANG DISEBUT SEBAGAI BAKAL MENTERI BESAR BARU - DATUK HASNI MOHAMMAD: Pengerusi BN Johor. -

SABTU ini Johor akan mengadakan pilihan raya negeri (PRN) yang juga PRN ketiga Malaysia dalam 12 bulan.

Landskap politik Malaysia mengalami pelbagai perubahan sejak kekalahan mengejut gabungan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum 2018, yang membawa kepada perubahan kerajaan buat kali pertama sejak kemerdekaan pada 1957.

Beberapa parti politik baru juga telah muncul, termasuk Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Selain itu, buat kali pertama parti berpangkalan di Sabah di Malaysia Timur menyertai pilihan raya di Semenanjung Malaysia, apabila Parti Warisan Sabah, diketuai bekas ketua menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, menyertai PRN Johor.

PRN Johor dilihat sebagai cerminan sokongan rakyat kepada parti politik di Malaysia sebelum pilihan raya umum seterusnya, yang diramal penganalisis diadakan pada separuh kedua tahun ini.

PRN ini juga istimewa kerana ia PRN pertama yang menyaksikan rakyat berusia 18 tahun boleh mengundi atau bertanding sebagai calon (Undi18).

Berikut lima perkara penting yang menarik perhatian menjelang hari lusa:

Angka rekod

Ketidaktentuan politik yang semakin meningkat dan persaingan kuasa telah meningkatkan persaingan dalam PRN Johor dengan rekod 239 calon daripada 10 parti politik, serta calon bebas, berebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ini merupakan peningkatan 51 peratus daripada 158 calon pada PRN 2018.

Pengundi muda dan baru

Seramai 1.33 juta, atau 74.5 peratus, pengundi Johor keluar mengundi pada 2018.

Pemerhati politik menjangka kadar keluar mengundi kali ini lebih rendah, sebahagiannya disebabkan pandemik Covid-19 dan sekatan perjalanan.

Berdasarkan perangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya, terdapat 2.59 juta pengundi berdaftar yang layak mengundi pada PRN ini, meningkat daripada 1.8 juta pada 2018.

Menurut setiausaha agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, pelaksanaan Undi18 akan menyaksikan peningkatan 30 peratus, atau hampir 750,000, pengundi baru.

Banyak penjuru

Dengan 10 parti memasuki gelanggang, PRN Johor tidak mempunyai satu pun pertandingan satu lawan satu.

Sebaliknya, terdapat tujuh pertandingan tiga penjuru, 35 pertandingan empat penjuru, lapan pertandingan lima penjuru, empat pertandingan enam penjuru, dan dua pertandingan tujuh penjuru.

Kerusi panas

Larkin: DUN ini menyaksikan pertandingan enam penjuru antara Pejuang, Muda, BN, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Perikatan Nasional (PN) dan calon bebas.

Keputusannya mungkin mengubah hubungan Muda dengan PKR, kerana ketua PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah melahirkan kekecewaannya akan penyertaan Muda di Larkin.

Kempas dan Tiram: Dua kawasan DUN in menyaksikan pertandingan tujuh penjuru.

Di Kempas, pertempuran antara BN, PKR, Pejuang, PN, dan tiga calon bebas. Di Tiram, pertandingan melibatkan BN, PN, Pejuang, PKR, PBM dan dua calon bebas.

Calon Menteri Besar Johor

Hasni Mohammad

Beliau Menteri Besar Johor dari Februari 2020 hingga DUN Johor dibubar pada 22 Januari. Beliau juga pengerusi BN Johor.

Solihan Badri/Sahruddin Jamal

Encik Mohd Solihan Badri, ketua penerangan Bersatu di Johor, dan Datuk Dr Saharuddin Jamal, Menteri Besar Johor antara April 2019 hingga Februari 2020, dijangka menjadi pilihan utama PN sebagai menteri besar.

Maszlee Malik

Walaupun Datuk Anwar daripada PH belum mengumumkan mengenai calon ketua menteri gabungan yang termasuk PKR itu, spekulasi berleluasa bahawa Dr Maszlee Malik, yang menjadi menteri pendidikan dalam Kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad dan juga Anggota Parlimen Simpang Renggam di Johor, mungkin dinamakan sebagai calon jika PH menguasai Johor. - BT.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg