OTTAWA: Canada mencatat rekod kehilangan 2 juta pekerjaan untuk April lalu sedang kadar pengangguran melonjak ke paras 13 peratus - hampir mencapai rekod - menurut data rasmi yang dibentangkan semalam.
Ia bagaimanapun tidak mencerminkan kesan sepenuhnya pembuangan kerja akibat penutupan syarikat disebabkan koronavirus.
Meskipun jumlah itu tidak seburuk yang dibimbangi pasaran, agensi Statistics Canada berkata, mereka tidak mengambil kira 1.1 juta orang yang telah kehilangan pekerjaan buat sementara dan mereka yang dijangka kembali bekerja selepas sekatan dilonggarkan.
Sekiranya kesemua ini dikira sebagai tidak bekerja, kadar pengangguran untuk April akan mencapai rekod 17.8 peratus.
Perdana Menteri Justin Trudeau dalam catatan di Twiter berkata, jumlah pekerjaan adalah "sukar" dan berkata, Ottawa sedang melakukan segalanya untuk menyokong mereka yang terjejas.
Penganalisa dalam tinjauan yang dilakukan agensi berita Reuters meramalkan, sejumlah 4 juta pekerjaan akan hilang dan kadar pengangguran akan mencapai 18 peratus, melonjak dari 7.8 peratus yang dilihat pada Mac lalu, di mana 1 juta pekerjaan telah hilang. - Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg