OTTAWA: Canada merancang untuk menempatkan semula lebih dari 20,000 warga Afghanistan yang berisiko termasuk pemimpin wanita, pekerja hak asasi manusia dan wartawan untuk melindungi mereka daripada tindakan balas Taleban, kata Menteri Imigresen, Encik Marco Mendicino.
Usaha itu sebagai tambahan kepada inisiatif sebelumnya untuk menyambut kehadiran ribuan rakyat Afghanistan yang bekerja untuk pemerintah Canada - seperti jurubahasa, pekerja kedutaan dan keluarga mereka, kata beliau dalam satu sidang media.
"Sedang Taleban terus merampas lebih banyak wilayah Afghanistan, semakin banyak nyawa rakyat Afghanistan berada di bawah ancaman yang semakin meningkat," tekan beliau.
Encik Mendicino bagaimanapun, tidak mengatakan jadual waktu.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Harjit Sajjan mengatakan beberapa pasukan khas Canada sudah berada di Afghanistan untuk mengambil bahagian dalam usaha penempatan semula itu.
Namun beliau tidak memberikan perinciannya.
"Cabaran di lapangan cukup besar," jelas Encik Sajjan.
Rancangan baru Canada akan memberi tumpuan antaranya kepada mereka yang sangat lemah dan berisiko, termasuk pemimpin wanita, pembela hak asasi manusia, wartawan dan golongan minoriti yang dianiaya, kata Encik Mendicino.
Ini meliputi golongan mereka yang ingin meninggalkan Afghanistan dan mereka yang sudah berada di negara jiran.
Taleban telah merampas bandar kedua dan ketiga terbesar Afghanistan sedang respons daripada pasukan pemerintah semakin goyah.
"Kami tahu situasinya mengerikan. Ia menjadi semakin teruk pada setiap jam yang berlalu," tambah Encik Mendicino. - Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg