GENEVA: Pendakwa Raya Switzerland pada Selasa mengatakan mereka akan meminta supaya dikenakan hukuman penjara tiga tahun ke atas seorang sarjana Islam, Encik Tariq Ramadan, bekas profesor Universiti Oxford, yang dituduh merogol dan melakukan paksaan seksual.
"Adalah betul untuk menjatuhkan hukuman penjara 3 tahun 18 bulan (dijalani segera), dan menggantung khidmatnya selama 18 bulan lagi," kata ketua pendakwa raya, Encik Adrian Holloway, kepada hakim tiga orang di Mahkamah Jenayah Geneva.
Encik Ramadan menafikan dakwaan itu.
Beliau memberitahu hakim pada Isnin, hari pertama perbicaraan, bahawa beliau membenarkan dirinya dicium oleh orang yang menuduhnya, tetapi bersungguh-sungguh mengatakan tidak melakukan hubungan seksual.
Pihak yang membuat aduan, juga warga Swiss, adalah seorang mualaf dan berkata beliau menghadapi ancaman.
Oleh itu beliau hanya mahu dikenali sebagai 'Brigitte'.
Dengan nada tenang dan penuh yakin, pihak yang membuat aduan itu berkata, beliau takut akan mati apabila diserang oleh (Encik) Ramadan.
"Saya dipukul... dan dirogol," katanya.
Beliau berusia sekitar 40-an semasa kejadian yang didakwa berlaku pada 28 Oktober 2009 itu.
Di sebuah kamar hotel di Geneva, Encik Ramadan, 60 tahun, dituduh melakukan kekerasan seksual dengan memukul dan mencaci orang yang menuduhnya.
Semasa di mahkamah, sebuah skrin diletakkan di tengah-tengah, antara Encik Ramadan dan Cik 'Brigitte' atas permintaan pihak yang menuduh supaya mereka tidak melihat satu sama lain.
"Encik Ramadan bertindak untuk memuaskan nafsu seksnya ke atas seorang wanita, yang digunakan sebagai satu objek.
"Dia tidak keberatan untuk melaksanakan impiannya selama beberapa jam," kata pendakwa raya.
Encik Holloway menegaskan tentang "konsistensi" kenyataan pihak yang membuat pengaduan, dan penilaian ahli psikologi juga berkata demikian.
Kontroversi di kalangan ahli sekular, yang melihatnya sebagai penyokong politik Islam, Encik Ramadan mendapat ijazah kedoktoran dari Universiti Geneva, dengan tesisnya fokus kepada datuknya yang menubuhkan pergerakan Muslim Brotherhood di Mesir.
Beliau adalah seorang profesor pengajian Islam kontemporari, di universiti terkemuka Britain, Universiti Oxford sehingga November 2017, dan menjadi profesor pelawat di Universiti di Qatar dan Maghribi.
Beliau dipaksa bercuti apabila dakwaan rogol itu mula terdedah di Perancis. - AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg