PARIS: Pengasas bersama aplikasi pemesejan Telegram kelahiran Russia, Encik Pavel Durov, ditahan di Perancis untuk disiasat berkaitan jenayah pornografi kanak-kanak, pengedaran dadah dan transaksi penipuan di wadah tersebut, kata pendakwa raya Perancis pada 26 Ogos.
Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, membuat pengesahan rasmi pertama mengenai penahanan Encik Durov sejak beliau ditahan di lapangan terbang Le Bourget di luar Paris pada petang 24 Ogos.
Beliau berkata tiada motif politik dalam penahanan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Telegram itu walaupun terdapat banyak komen palsu dalam talian.
Encik Macron menambah bahawa Perancis kekal komited terhadap kebebasan bersuara yang sah.
“Penangkapan presiden Telegram di wilayah Perancis ini berlaku sebagai sebahagian daripada siasatan kehakiman yang berterusan,” tulis Encik Macron di laman sosial X.
“Ini sama sekali bukan keputusan politik. Terpulang kepada hakim untuk membuat keputusan.”
Dalam kenyataan berikutnya, pendakwa raya Paris, Encik Laure Beccuau, berkata bahawa Encik Durov telah ditangkap sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap individu tidak dinamakan yang dilancarkan oleh unit jenayah siber pejabat itu pada 8 Julai.
Siasatan itu berhubung kes disyaki terlibat dalam pelbagai jenayah termasuk menjalankan wadah dalam talian yang membenarkan urus niaga terlarang, pornografi kanak-kanak, pengedaran dadah dan penipuan.
Ia turut melibatkan keengganan untuk menyampaikan maklumat kepada pihak berkuasa, pengubahan wang haram dan menyediakan perkhidmatan kriptografi kepada penjenayah, kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, Encik Durov boleh ditahan sehingga 28 Ogos.
Agensi berita Reuters tidak dapat menghubungi mana-mana peguam yang mewakili Encik Durov.
Telegram ialah aplikasi pemesejan dan media sosial yang popular seperti WhatsApp.
Aplikasi dengan hampir 1 bilion pengguna itu sangat berpengaruh di Russia, Ukraine dan beberapa republik bekas Soviet Union.
Telegram berkata pengasasnya tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan selepas ditahan untuk disoal siasat di Paris.
Menurut Telegram lagi, adalah “tidak masuk akal” untuk mendakwa bahawa syarikat atau pemiliknya harus bertanggungjawab atas “penyalahgunaan” wadah mereka sendiri.
Jutawan berusia 39 tahun itu ditahan selepas mendarat di lapangan terbang di luar Paris.
Beliau didakwa gagal mengambil tindakan untuk membendung wadahnya daripada kegiatan jenayah.
Encik Durov dilahirkan di Russia tetapi meninggalkan negara itu pada 2014 dan kini menjadi warganegara Perancis dan Amiriah Arab Bersatu (UAE). – Agensi berita.
“
“Penangkapan presiden Telegram (ketua pegawai eksekutif aplikasi pemesejan Telegram, Encik Pavel Durov) di wilayah Perancis ini berlaku sebagai sebahagian daripada siasatan kehakiman yang berterusan. Ini sama sekali bukan keputusan politik. Terpulang kepada hakim untuk membuat keputusan.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg