BEIJING: China terus meluahkan kemarahannya terhadap lawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat, Cik Nancy Pelosi, ke Taiwan dan menyifatkannya sebagai "berbahaya dan bodoh" sambil mengumumkan langkah baru ekonomi dan sekatan lain terhadap Taiwan.
"Amerika seharusnya usah berkhayal untuk memutarbelitkan fakta sesuka hatinya.
"Amerika mendakwa China yang membuat keadaan menjadi tegang, tetapi hakikatnya adalah Amerika yang membuat angkara memancing kemarahan China dalam soal Taiwan dan sewenangnya melanggar hak kedaulatan China serta integriti wilayahnya.
"Ini amat berbahaya dan bodoh," kata Menteri Ehwal Luar, Encik Wang Yi, dalam satu kenyataan yang dikeluarkannya di Phnom Penh, Kemboja, semasa menghadiri Mesyuarat Asean bersama Menteri Ehwal Luar negara lain.
Bercakap selepas mesyuarat Asean itu, Encik Wang berkata lawatan Cik Pelosi itu "sangat aneh".
"Berselindung di sebalik demokrasi, Amerika telah menceroboh kedaulatan China," kata Encik Wang.
China menganggap Taiwan sebagai sebuah wilayah pemisah yang perlu diambil semula, jika perlu dengan kekerasan. - Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg