Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

China beri amaran kepada AS jangan remehkan isu lawatan ke Taiwan

Aug 18, 2022 | 5:30 AM
1a7983a7-4b5f-4892-b55c-090437a97a91
-

WASHINGTON: Lawatan-lawatan anggota dewan Kongres Amerika Syarikat ke Taiwan memanaskan lagi ketegangan serantau, dan pentadbiran Presiden Joe Biden jangan meremehkan reaksi China terhadap isu itu, kata duta Beijing di Washington kelmarin.

Duta Besar, Encik Qin Gang, menyangkal hujah para pegawai Amerika Syarikat yang mengatakan lawatan para anggota Dewan Kongres itu adalah atas dasar mereka sendiri dan pentadbiran Rumah Putih tiada kuasa terhadap agenda Speaker Dewan, Cik Nancy Pelosi, yang melakukakan lawatan pada awal bulan ini.

Encik Qin berkata kunjungan Cik Pelosi dan lain-lain anggota Dewan Kongres telah melanggar perjanjian Amerika Syarikat-China yang sedia ada.

"Kami sedang menangani masalah serius ekoran lawatan Cik Pelosi," kata Encik Qin kepada wartawan di Washington.

Beliau memberi amaran kepada Amerika Syarikat supaya "jangan meremehkan reaksi tegas, kesungguhan dan keupayaan pemerintah China dan rakyatnya untuk mempertahankan kedaulatan dan kewibawaan wilayahnya."

Encik Qin menyuarakan amaran selepas satu rombongan anggota Kongres yang dipimpin oleh Senator dari parti Demokrat bagi Massachusetts, Encik Edward Markey, mengakhiri lawatannya ke negara pulau itu hujung minggu lalu.

Lawatan Cik Pelosi sebelumnya pada awal bulan ini telah memicu Beijing melancarkan latihan ketenteraan.

"Sejak beberapa dekad lalu, China telah membantah lawatan anggota Kongres (Amerika Syarikat) ke Taiwan kerana kami percaya ia melanggar dasar 'satu China'," kata Encik Qin, merujuk kepada dasar China terhadap Taiwan yang menjadi sebahagian daripada wilayahnya dan Beijing adalah satu-satunya mewakili China.

"Dewan Kongres adalah sebahagian daripada pemerintah Amerika Syarikat - bukan persendirian, cabang yang tidak dikawal," ujar Encik Qin.

"Dewan Kongres tertakluk mematuhi dasar luar Amerika Syarikat. Itulah sebabnya kami berasa amat kecewa dan tidak puas hati terhadap lawatan Encik Markey ke Taiwan. Ia tindakan provokasi dan tidak membantu."

Para pegawai kanan Amerika Syarikat secara terbuka menyangkal bahawa lawatan Cik Pelosi itu hanyalah sebahagian daripada siri lawatan anggota Dewan Kongres ke negara pulau itu dan reaksi ketenteraan China - melancarkan tembakan peluru berpandu ke arah Taiwan serta menjalankan latihan tentera lautnya di pesisiran pulau tersebut - adalah tidak bertanggungjawab.

Encik Qin pula mengatakan yang China sudah pun menyuarakan amaran kepada Amerika Syarikat yang lawatan Cik Pelosi itu boleh membawa kepada "natijah buruk,"

Katanya lagi, China bertindak wajar dan latihan ketenteraan dijalankan secara "terbuka, telus dan profesional." - Agensi berita.

"Dewan Kongres tertakluk mematuhi dasar luar Amerika Syarikat. Itulah sebabnya kami berasa amat kecewa dan tidak puas hati terhadap lawatan Encik Markey ke Taiwan. Ia tindakan provokasi dan tidak membantu." - Duta Besar China ke Amerika Syarikat, Encik Qin Gang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg