BEIJING: China sekali lagi menegaskan pendiriannya terhadap Taiwan kelmarin menyusuli langkah menonjolkan kuasa tenteranya berdekatan pulau tersebut baru-baru ini.
China berkata bahawa "kemerdekaan bermakna peperangan", malah angkatan bersenjatanya sekadar bertindak balas terhadap usaha membangkitkan kemarahan selama ini dan wujudnya campur tangan luar dalam isu berkenaan.
Taiwan, yang dianggap sebagai sebahagian daripada China, melaporkan bahawa jet pejuang dan pesawat pengebom telah memasuki kawasan barat daya ruangan udaranya hujung minggu lalu.
Washington selanjutnya mengirimkan amaran kepada Beijing supaya berhenti memberi tekanan kepada Taiwan.
China pula berpandangan bahawa pemerintah Taiwan yang dipilih secara demokratik boleh mengusung pulau itu ke arah pengisytiharan kemerdekaan secara rasmi.
Presiden Taiwan Tsai Ing-wen dalam pada itu sudah beberapa kali menyatakan bahawa mereka telah pun mencapai kemerdekaan bahkan dinamakan Republic of China sekarang.
Ditanya tentang kemasukan jet pejuang dalam ruang udara Taiwan menerusi sidang media bulanan, jurucakap Kementerian Pertahanan China, Kolonel Kanan Wu Qian, berkata Taiwan tidak boleh dipisahkan daripada China.
"Kegiatan ketenteraan yang dilaksanakan Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) China di Selat Taiwan perlu dilakukan sebagai cara menghuraikan keadaan keselamatan mutakhir di situ dan melindungi kedaulatan serta keamanan negara.
Langkah itu juga tindak balas terhadap campur tangan pihak luar dan usaha membangkitkan kemarahan daripada kuasa 'kemerdekaan Taiwan'," ujarnya.
Kolonel Wu berkata ada 'segelintir' orang di Taiwan yang memperjuangkan kemerdekaan.
"Kami memberi amaran kepada kelompok 'kemerdekaan Taiwan' itu: Mereka yang bermain dengan api akan terbakar dan 'kemerdekaan Taiwan' bermakna akan meletusnya peperangan," ujarnya.
Sebelum ini, China ada menonjolkan kekuatan ketenteraan untuk mengawal Taiwan. Namun, mereka tidak pernah menggunakan bahasa setegas dan mengugut sebegini.
Majlis Ehwal Tanah Besar Taiwan kemudian berkata bahawa China harus muhasabah diri. Negara besar itu juga tidak boleh memandang remeh tekad pulau itu hendak melindungi kedaulatannya serta menjunjung idea kebebasan dan demokrasi, tambah majlis itu.
Kementerian Pertahanan Taiwan melaporkan bahawa enam pesawat angkatan udara China, termasuk enam jet pejuang J-10, dikesan memasuki ruang udara berdekatan Kepulauan Pratas kelmarin. Kepulauan Pratas dikuasai Taiwan dan berada di utara Laut China Selatan.
Sehubungan itu, pentadbiran presiden baru Amerika Syarikat Joe Biden mengesahkan iltizam utuh mereka terhadap Taiwan.
Diminta mengulas perkembangan tersebut, jurucakap Pentagon John Kirby berkata tiada sebab ketegangan hubungan Taiwan dengan China itu "harus menghala ke arah seperti bersemuka".
Encik Kirby, yang juga laksamana bersara, turut menekankan sokongan berterusan tentera Amerika terhadap urusan pertahanan Taiwan.
"Kami mempunyai keutamaan membantu Taiwan dan saya rasa anda akan menyaksikan perkara ini berterusan," ujarnya semasa berucap dalam sidang pertama Pentagon di bawah pimpinan Encik Biden. - Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg