Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

China-AS bincang "isu keprihatinan bersama" tapi tiada petunjuk akhiri perang tarif

Jun 3, 2021 | 5:30 AM
BINCANG KEPRIHATINAN BERSAMA: Encik Liu (atas) dan Dr Yellen semalam, telah bertukar-tukar pandangan. - Foto EPA-EFE,REUTERS
BINCANG KEPRIHATINAN BERSAMA: Encik Liu (atas) dan Dr Yellen semalam, telah bertukar-tukar pandangan. - Foto EPA-EFE,REUTERS -

BEIJING: Naib Perdana Menteri China, Encik Liu He, bertukar-tukar pandangan dengan Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Dr Janet Yellen, mengenai isu "keprihatinan" bersama, dalam satu panggilan video semalam.

Panggilan maya itu merupakan yang kedua bagi Encik Liu dalam tempoh seminggu bersama pegawai ekonomi dan perdagangan tertinggi di bawah pentadbiran Presiden Joe Biden.

Encik Liu, yang memimpin pihak China dalam rundingan perdagangan China-Amerika sejak mantan presiden Encik Donald Trump melancarkan perang dagang dengan Beijing, juga telah mengadakan perbincangan dengan Wakil Perdagangan Amerika Katherine Tai pada 26 Mei lalu.

Dua sesi perbincangan itu mencerminkan penglibatan lebih tinggi China bersama ketua perdagangan dan ekonomi ekonomi terbesar di dunia, sejak Presiden Biden menyandang jawatan itu pada Januari lalu.

Ia juga diadakan sedang pentadbiran Amerika mengkritik Beijing atas pelanggaran hak asasi manusia dan berusaha untuk mengumpulkan negara maju lain untuk bersatu-padu menghadapi China.

"Setiausaha Yellen membincangkan rancangan pentadbiran Biden-Harris untuk menyokong pemulihan ekonomi yang berterusan dan pentingnya bekerjasama dalam bidang yang menjadi kepentingan AS, dan pada masa yang sama secara terus terang menangani masalah yang menjadi keprihatinan," kata Jabatan Perbendaharaan Amerika dalam satu kenyataan.

Dalam panggilan video Encik Liu bersama Dr Yellen semalam, kedua-dua pihak telah bertukar-tukar pandangan secara meluas mengenai keadaan makroekonomi dan kerjasama dua hala dan pelbagai hala, lapor agensi berita rasmi Xinhua.

"Kedua-dua pihak percaya bahawa hubungan ekonomi China-Amerika sangat penting," kata Xinhua.

Mereka juga "secara terus terang bertukar-tukar pandangan tentang isu yang sama-sama menjadi keprihatinan, dan menyatakan kesediaan untuk memelihara komunikasi".

Tiada perincian telah diberikan mengenai isu yang dibincangkan.

Minggu lalu, Cik Tai berkata Amerika Syarikat masih menghadapi "cabaran yang sangat besar" dalam hubungan perdagangan dan ekonominya dengan China.

Pentadbiran Biden sedang melakukan semakan terhadap dasar perdagangan Amerika-China, menjelang tamatnya perjanjian fasa 1 mereka pada akhir 2021.

Beijing dan Washington menandatangani perjanjian itu pada Januari 2020. Di bawah perjanjian itu, China diminta untuk meningkatkan pembelian barang pertanian, produk pembuatan, tenaga dan perkhidmatan Amerika sebanyak AS$200 bilion ($264 bilion) pada 2020 dan 2021, dibandingkan dengan garis dasar 2017.

Perjanjian itu meredakan perang tarif dua tahun yang dilancarkan Encik Trump yang bertujuan untuk mengubah amalan perdagangan China, walaupun cukai dikekalkan terhadap perdagangan yang bernilai beratus-ratus bilion dolar. - Reuters

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg