Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS, China capai perjanjian pertingkat kerjasama tangani perubahan iklim

Nov 12, 2021 | 5:30 AM
HARAPAN BARU BUAT IKLIM: Antara langkah dalam perjanjian yang diumum oleh Encik John Kerry (gambar atas) dan Encik Xie Zhenhua ialah mengurangkan pelepasan metana, menghentikan penggunaan arang batu secara berperingkat dan melindungi hutan. - Foto AFP
HARAPAN BARU BUAT IKLIM: Antara langkah dalam perjanjian yang diumum oleh Encik John Kerry (gambar atas) dan Encik Xie Zhenhua ialah mengurangkan pelepasan metana, menghentikan penggunaan arang batu secara berperingkat dan melindungi hutan. - Foto AFP -

GLASGOW (Scotland): Amerika Syarikat dan China, dua pencemar terbesar karbon dioksida dunia, mengumumkan satu perjanjian bagi meningkatkan kerjasama menangani perubahan iklim, termasuk mengurangkan pelepasan metana, menghentikan penggunaan arang batu secara berperingkat dan melindungi hutan.

Utusan iklim Amerika, Encik John Kerry, dan rakan sejawatannya dari China, Encik Xie Zhenhua, mengumumkan rangka kerja perjanjian itu pada persidangan iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Scotland (COP26).

Kedua-duanya menganggap perjanjian tersebut sebagai cara membawa kejayaan pada sidang iklim itu.

Terdahulu, ketua persidangan PBB menyatakan komitmen iklim setakat ini terlalu sedikit bagi mengawal pemanasan global dan menggesa negara "mula bekerja" dalam tempoh dua hari yang tinggal.

Dalam satu sidang media mengenai perjanjian antara Washington dengan Beijing itu, Encik Kerry berkata: "Kami bersama-sama menyatakan sokongan kami bagi COP26 yang berjaya, termasuk elemen tertentu yang akan menggalak cita-cita besar.

"Setiap langkah adalah penting sekarang dan kami mempunyai perjalanan panjang di hadapan kami."

Encik Xie berkata perjanjian itu akan menyaksikan China mengukuhkan sasaran pengurangan pelepasan gas rumah hijaunya.

"Kedua-dua pihak akan bekerjasama dan bersama pihak lain bagi memastikan COP26 berjaya dan memudahkan keputusan bercita-cita tinggi dan seimbang," kata Encik Xie.

Pengisytiharan bersama itu mengatakan China akan mula menghentikan penggunaan arang batu dalam tempoh lima tahun dari 2026-30 dan mengurangkan pelepasan metana gas rumah hijau berbahaya.

Ketua dasar iklim Kesatuan Eropah (EU), Encik Frans Timmermans, berkata perjanjian itu memberi harapan baru.

"Sangat menggalakkan melihat negara-negara yang berselisih dalam banyak perkara telah menemui titik persamaan mengenai cabaran terbesar yang dihadapi manusia hari ini," katanya.

"Dan ia sudah tentu membantu kami di COP26 untuk mencapai satu persetujuan." - Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg