LONDON: China diramal menjadi ekonomi terbesar dunia menjelang 2028, mengalahkan Amerika Syarikat.
Ini lima tahun lebih awal daripada apa yang diramalkan berdasarkan keupayaan kededua negara itu bangkit daripada pandemik Covid-19, menurut pakar.
"Tema menyeluruh ekonomi global buat sementara waktu merupakan ekonomi dan juga rebutan kuasa antara Amerika Syarikat dengan China," menurut laporan tahunan Pusat Kajian Ekonomi dan Perniagaan (CEBR) semalam.
"Pandemik Covid-19 dan masalah ekonomi yang menyusuli nampaknya telah berpihak kepada China," tambah laporan itu.
Menurut laporan itu, kepintaran China dalam menguruskan kesan pandemik, termasuk perintah berkurung yang dikeluarkan pada peringkat awal dan juga kesan negatif terhadap perkembangan ekonomi jangka panjang di barat, bermaksud prestasi ekonomi China semakin baik.
Ekonomi China diramal tumbuh 5.7 peratus setiap tahun dari 2021 hingga 2025 sebelum ia jatuh kepada 4.5 peratus setiap tahun antara 2026 dengan 2030.
Walaupun Amerika mampu bangkit dengan lebih baik pada 2021, pertumbuhan ekonominya antara 2022 dengan 2024 dijangka hanya pada 1.9 peratus setiap tahun, dan 1.6 peratus pada tahun-tahun selanjutnya.
Jepun dijangka kekal sebagai ekonomi dunia ketiga terbesar sehingga 2030-an di mana India dijangka mengambil tempatnya.
Ini akan mengakibatkan Jerman jatuh ke kedudukan keempat dari kelima.
Britain yang kini merupakan ekonomi dunia kelima terbesar mengikut penilaian CEBR, diramal jatuh ke tempat keenam pada 2024. - Reuters.