BEIJING: – China akan melancarkan satu lagi misi angkasa pada 22 April, menghantar tiga angkasawan ke stesen angkasanya, Tiangong, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan negara itu untuk menyaingi dominasi Amerika Syarikat dalam perlumbaan angkasa.
Pelancaran misi Shenzhou-20 dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di wilayah padang pasir barat laut dijadual berlangsung pada jam 5.17 petang waktu tempatan, menurut Agensi Angkasa Lepas China bagi Misi Kru (CMSA).
Misi ini diketuai oleh Chen Dong, 46 tahun, seorang bekas juruterbang pesawat pejuang dan angkasawan veteran yang menjadi rakyat China pertama mencatat lebih 200 hari dalam orbit pada tahun 2022. Bersamanya ialah dua angkasawan yang pertama kali menyertai misi angkasa: Chen Zhongrui, 40 tahun, bekas juruterbang tentera udara, dan Wang Jie, 35 tahun, bekas jurutera teknologi angkasa.
Pelancaran Shenzhou-20 dianggap sebagai satu lagi kejayaan besar bagi China, yang telah melaburkan berbilion dolar dalam program angkasanya, dengan cita-cita untuk menghantar misi berawak ke bulan menjelang akhir dekad ini dan membina pangkalan di permukaan bulan.
Orang ramai berkumpul beramai-ramai di sekitar pusat pelancaran, membawa bunga dan bendera kecil sambil melaungkan sokongan kepada angkasawan. Lagu perarakan tentera dimainkan dan sepanduk merah yang tertera “Belajar dari angkasawan kita! Hormat kepada angkasawan kita!” digantung. “Kami doakan kejayaan anda!” jerit mereka sewaktu ketiga-tiga angkasawan melambai sambil berpakaian sut angkasa putih.
Imej siaran langsung di televisyen menunjukkan mereka dibawa menaiki bas ke tapak pelancaran yang terletak di kawasan gurun yang luas.
Ketiga-tiga angkasawan akan bekerja selama enam bulan di Tiangong, menjalankan eksperimen fizik dan sains hayat, serta memasang peralatan perlindungan daripada serpihan angkasa. Mereka juga akan membawa masuk cacing planaria, sejenis cacing air yang terkenal dengan keupayaan pembentukan semula sel yang luar biasa.
Misi ini turut merangkumi aktiviti berjalan di angkasa, pengisian semula bekalan, serta kerja penyelenggaraan rutin ke atas stesen angkasa. Tiga angkasawan lain yang kini berada di Tiangong dijadualkan pulang ke Bumi pada 29 April selepas menjalani prosedur penyerahan tugas.
Ribuan peminat angkasa dilaporkan berkumpul sejak awal pagi di sepanjang lebuh raya berdekatan, sanggup berpanas demi menyaksikan roket yang sudah dipacakkan di ufuk pelancaran. Gerai berhampiran pintu masuk ke tapak pelancaran turut mencatat jualan memberangsangkan bagi roket mainan dan cenderahati bertemakan misi.
Semasa lawatan rasmi pemerintah pada 23 April, wartawan AFP melihat roket disiapkan di dalam menara pelancaran berwarna biru langit, dikelilingi bendera merah dengan para juruteknik berpakaian seragam biru sedang melakukan pemeriksaan terakhir.
China kini menjadi negara ketiga di dunia yang berjaya menghantar manusia ke orbit dan turut mendaratkan rover robotik di Marikh dan Bulan, meletakkannya sebaris dengan kuasa angkasa besar seperti Amerika Syarikat dan Russia.
Stesen Tiangong yang bermaksud “Istana Syurgawi” dalam bahasa Mandarin merupakan permata dalam program angkasa China. Ia dikendalikan oleh pasukan tiga angkasawan yang bergilir setiap enam bulan.
Sejak dikecualikan daripada Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada 2011 berikutan larangan kerjasama oleh Agensi Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA), China giat membangunkan sistemnya sendiri dan kini mula membuka ruang kerjasama dengan negara lain.
Pada Februari lalu, China menandatangani perjanjian dengan sekutu lamanya, Pakistan, untuk membawa angkasawan asing pertama ke Tiangong. Menurut CMSA, “dua angkasawan Pakistan akan dipilih untuk menjalani latihan di China” sebagai sebahagian daripada persiapan misi kerjasama tersebut. — AFP


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg