BEIJING: China mengeluarkan amaran berjaga-jaga terhadap banjir kilat di wilayah tengah dan selatan apabila musim monsun Asia Timur mula memuncak dan hujan lebat berisiko menjejaskan ekonomi kedua terbesar dunia.
Agensi berita rasmi Xinhua melaporkan amaran merah – yang pertama pada 2025 – dikeluarkan lewat 19 Jun untuk kawasan tertentu di Anhui, Henan, Hubei, Hunan, Guizhou serta wilayah autonomi Guangxi, menurut Kementerian Sumber Air dan Pentadbiran Meteorologi China.
Hujan ekstrem dan banjir besar, yang kerap dikaitkan ahli meteorologi dengan perubahan iklim, semakin mencabar pembuat dasar: infrastruktur banjir yang uzur diancam, jutaan penduduk terdedah kepada pemindahan, dan sektor pertanian bernilai AS$2.8 trilion (S$3.6 trilion) berpotensi rosak teruk.
Musim hujan tahun 2025 bermula lebih awal, pada awal Jun, dan lazimnya diikuti gelombang panas yang boleh membakar tanaman yang terselamat, mengeringkan empangan, serta merosakkan jalan raya dan prasarana lain.
Kerugian ekonomi akibat bencana alam melebihi AS$10 bilion pada Julai 2024, ketika curahan hujan lazimnya memuncak. Angka kerugian itu tiga kali ganda pada 2020 apabila China mengalami musim hujan terpanjang dalam beberapa dekad – lebih 60 hari, sekitar tiga minggu lebih lama daripada biasa.
Pada 19 Jun, hujan lebat di Hunan selatan mencetuskan banjir terbesar sejak 1998 di hulu dan hilir Sungai Lishui apabila paras airnya melepasi tanda bahaya lebih dua meter. Rakaman di Douyin (versi TikTok di China) menunjukkan air sungai melimpahi jalan utama sambil membawa serpihan kayu dan puing.
Di metropolis berbukit Chongqing di barat daya, blok apartmen ditenggelami air berlumpur, manakala beberapa kenderaan dihanyutkan arus deras, menurut gambar dan rakaman CCTV pada 19 Jun. Satu foto memaparkan paras banjir hampir mencecah kabel kuasa; bekalan air dan elektrik turut terputus di beberapa kawasan.
Hampir 300 penduduk dipindahkan dari bandar dan kampung di daerah Pengshui selepas hujan kumulatif mencecah 304 mm, sementara limpahan air dari pergunungan memasuki Sungai Ditang yang naik setinggi 19 m, lapor CCTV. Beberapa sungai lain di Chongqing juga melepasi paras amaran, kata Xinhua.
Pada 18 Jun, banjir di bandar Zhaoqing, wilayah Guangdong, menyebabkan bekalan elektrik terputus apabila paras air naik lebih lima meter melebihi tanda amaran – rekod tertinggi setempat, menurut media tempatan.
Pihak berkuasa menyatakan langkah berjaga-jaga akan diteruskan sepanjang musim hujan bagi mengurangkan risiko kerosakan dan memastikan keselamatan penduduk. - REUTERS


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg