Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

BELON INTIP DITEMBAK JATUH

China kutuk langkah Pentagon tembak jatuh 'belon intip'

Feb 06, 2023 | 05:30 AM



BEIJING/WASHINGTON: China mengutuk langkah Pentagon menembak jatuh apa yang didakwanya sebagai belon intip China yang berada di ruang angkasa Amerika, sambil menuduh pentadbiran Presiden Joe Biden sebagai bertindak keterlaluan dan tindakan tersebut merupakan satu pelanggaran serius kepada amalan antarabangsa.



"China melahirkan rasa tidak puas hati yang amat keras dan menolak tindakan Amerika menggunakan kekerasan untuk menyerang kapal udara awam tanpa pemandu ini," kata Kementeiran Luar Beijing, dalam satu kenyataan, sambil menambah ia berhak mengambil tindakan atau respons susulan selanjutnya.



Pesawat pejuang tentera Amerika menembak jatuh belon yang disyaki merupakan alat perisikan China yang berada di udara dekat kawasan pantai South Carolina kelmarin, sekali gus mengakhiri saga yang sekali lagi menyerlahkan hubungan tegang Sino-Amerika itu.



China kata ia berhak ambil respons susulan, jika perlu



Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Lloyd Austin, menyifatkan operasi itu sebagai "tindakan yang teliti dan berdasarkan undang-undang" yang terpaksa dilakukan sebagai respons kepada "tindakan China yang mencabuli kedaulatan Amerika".



Presiden Biden berkata beliau telah mengeluarkan arahan pada Rabu lalu untuk menembak jatuh belon tersebut namun Pentagon telah menyarankan agar pihak tentera menunggu sehingga belon itu berada di kawasan perairan, sebagai memelihara keselamatan orang awam daripada tercedera dek sisa belon yang terhempas daripada ribuan meter di atas paras trafik penerbangan komersial.



"Mereka berjaya menembak jatuh... dan saya mahu memuji kerja baik tentera udara kami yang melakukannya," ujar Encik Biden.



Belon intip berkenaan ditembak jatuh kira-kira enam batu nautika dari kawasan pantai Amerka, dan jatuh dalam kawasan air surut, sekali gus memudahkan usaha mencari alat tersebut dalam hari-hari akan datang, kata pegawai pertahanan Amerika.



Menurut tentera Amerika, serpihan alat tersebut bertaburan dalam kawsan kira-kira 11 kilometer dan kapal tentera Amerika sudah pun dikerah ke kawasan tersebut.



Pemerintah Amerika juga terpaksa mengarahkan penggantungan penerbangan keluar dan masuk dari tiga lapangan terbang di South Carolina - Wilmington, Myrtle Beach dan Charleston - ekoran apa yang disifatkannya ketika itu sebagai langkah-langkah keselamatan dalam negeri.



Penerbangan disambung semula pada petang Sabtu.



Dalam kenyatannya, Kementerian Luar China berkata ia telah dengan jelas membuat permintaan kepada Amerika supaya menangani keadaan tersebut dengan cara tenang, profesional dan berhati-hati.



"China akan melindungi sepenuhnya hak dan kepentingan sah yang dimiliki perusahaan-perusahaan relevan dan mempunyai hak mengambil respons susulan jika perlu," tambah kementerian itu lagi.



Sedang langkah menembak jatuh belon intip itu mengakhiri saga tersebut dari sudut ketenteraan dan risikan, Encik Biden dipercayai akan terus berdepan dengan tekanan politik yang mendakwa beliau gagal bertindak dengan lebih pantas.



Pegawai kanan pentadbiran Amerika mengesahkan semalam selepas belon itu ditembak jatuh, pemerintah Amerika telah berhubung secara langsung dengan China, dan awal sebelum itu telah memberi taklimat kepada negara-negara sekutunya di seluruh dunia.



Di samping itu, persoalan timbul mengenai maklumat yang telah pun diperolehi China.



Belon itu pertama kali memasuki ruang udara Amerika pada 28 Januari sebelum beredar ke ruang udara Canada pada 30 Januari.



Ia kemudian kembali memasuki ruang udara Amerika pada 30 Januari.



Pemerintah Amerika tidak mendedahkan mengenai kehadiran belon intip itu di ruang udaranya sehingga Khamis lalu.



Insiden belon yang didakwa Amerika sebagai alat risikan China itu telah menyebabkan Setiausaha Negara Amerika, Encik Antony Blinken, menangguhkan lawatannya ke China, yang seharusnya bermula Jumaat lalu.



Penangguhan lawatan tersebut, yang dipersetujui pada November lalu antara Encik Biden dengan Presiden China, Encik Xi Jinping, merupakan tamparan kepada usaha mencari kestabilan dalam hubungan dua negara yang semakin tegang. - AFP, Reuters




RESPONS WASHINGTON



"Mereka berjaya menembak jatuh... dan saya mahu memuji kerja baik tentera udara kami yang melakukannya."
- Encik Joe Biden, Presiden Amerika Syarikat, mengenai operasi menembak jatuh belon intip China yang disifatkan sebagai "tindakan yang teliti dan berdasarkan undang-undang" yang terpaksa dilakukan sebagai respons kepada "tindakan China yang mencabuli kedaulatan Amerika".



RESPONS BEIJING



"China melahirkan rasa tidak puas hati yang amat keras dan menolak tindakan Amerika menggunakan kekerasan untuk menyerang kapal udara awam tanpa pemandu ...
China akan melindungi sepenuhnya hak dan kepentingan sah yang dimiliki perusahaan-perusahaan relevan dan mempunyai hak mengambil respons susulan jika perlu."
- Kenyataan Kementerian Luar China.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >