Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

China laksana latihan tentera baru, uji taktik ‘kepungan dan kawalan’ di Selat Taiwan

Apr 2, 2025 | 12:41 PM
Sebuah kapal peluru berpandu Tentera Laut Taiwan kelas Kuang Hua VI (atas) dan kapal penabur periuk api kelas Min Jiang menjalankan rondaan di perairan Pelabuhan Keelung, Bandar Keelung, Taiwan, pada 2 April 2025. Pada tarikh yang sama, latihan ketenteraan bersama oleh Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) di sekitar Taiwan memasuki hari kedua, dengan Komando Teater Timur PLA mengumumkan pelaksanaan latihan ‘Strait Thunder-2025A’ di beberapa bahagian Selat Taiwan. Menurut Kementerian Pertahanan Nasional (MND) Taiwan, sebanyak 95 aset udara dan laut PLA dikesan di sekitar Taiwan dari 1 hingga 2 April.
Sebuah kapal peluru berpandu Tentera Laut Taiwan kelas Kuang Hua VI (atas) dan kapal penabur periuk api kelas Min Jiang menjalankan rondaan di perairan Pelabuhan Keelung, Bandar Keelung, Taiwan, pada 2 April 2025. Pada tarikh yang sama, latihan ketenteraan bersama oleh Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) di sekitar Taiwan memasuki hari kedua, dengan Komando Teater Timur PLA mengumumkan pelaksanaan latihan ‘Strait Thunder-2025A’ di beberapa bahagian Selat Taiwan. Menurut Kementerian Pertahanan Nasional (MND) Taiwan, sebanyak 95 aset udara dan laut PLA dikesan di sekitar Taiwan dari 1 hingga 2 April. - Foto EPA-EFE

BEIJING: Tentera China pada 2 April mengumumkan satu lagi siri latihan ketenteraan di perairan sensitif berhampiran Taiwan, hanya sehari selepas melancarkan operasi mengepung pulau tersebut yang dituntut sebagai sebahagian daripada wilayahnya.

Latihan ketenteraan terbaru yang diumumkan oleh Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) sedang berlangsung di kawasan tengah dan selatan Selat Taiwan, satu laluan perdagangan strategik yang menjadi nadi kepada perkapalan global. Kehadiran aset ketenteraan di kawasan ini mencerminkan peningkatan tekanan Beijing terhadap Taipei yang berterusan menolak tuntutan kedaulatan China ke atas pulau tersebut.

Menurut Kolonel Kanan Shi Yi, jurucakap Komando Teater Timur PLA, latihan ini bertujuan untuk menguji keupayaan pasukan dalam aspek “kepungan dan kawalan, serta serangan tepat ke atas sasaran utama.” Beliau menjelaskan bahawa latihan ini direka bentuk menyerupai senario sebenar dalam usaha meningkatkan tahap kesiapsiagaan tempur di perairan sensitif itu.

“Latihan ini dirancang untuk menyerupai situasi senario sebenar peperangan dan meningkatkan kesediaan tempur dalam menghadapi ancaman pemisahan,” katanya.

Ketegangan antara China dan Taiwan semakin meningkat sejak Presiden Taiwan, Lai Ching-te, mengangkat sumpah pada Mei 2024. Beijing menuduh Encik Lai sebagai penyokong kemerdekaan, walaupun beliau menegaskan bahawa status quo harus dikekalkan.

Sebagai reaksi terhadap latihan ketenteraan itu, pihak berkuasa Taiwan telah mengerah pesawat pejuang dan kapal perangnya sendiri, bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan. Kementerian Pertahanan Taiwan menegaskan bahawa pihaknya “akan mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara dengan segala kemampuan yang ada.”

“China menggunakan latihan ketenteraan sebagai bentuk tekanan politik, dan ini membahayakan kestabilan serantau,” kata seorang pegawai kanan pertahanan Taiwan yang enggan dikenali kepada media tempatan.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Beijing telah meningkatkan kehadiran tenteranya di sekitar Taiwan — termasuk menghantar jet pejuang melintasi garisan tengah Selat Taiwan dan menjalankan rondaan laut yang agresif. Langkah-langkah ini dilihat sebagai usaha berterusan untuk mengukuhkan dakwaan kedaulatannya ke atas pulau itu.

Ketegangan ini turut menarik perhatian Amerika Syarikat, yang merupakan sekutu keselamatan utama Taiwan. Washington secara konsisten menyuarakan sokongan terhadap pertahanan sendiri oleh Taiwan, satu pendirian yang sering kali dibantah keras oleh Beijing. - AFP

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg