BEIJING: Kepimpinan baru China yang bertekad melaksanakan "pelan tindakan bercita-cita tinggi" mahu bekerjasama dengan Singapura dan meningkatkan lagi pertukaran pandangan mengenai pemodenan dan pembangunan, kata Perdana Menteri China, Encik Li Qiang, kepada Perdana Menteri Singapura, Encik Lee Hsien Loong, dalam satu mesyuarat pada Sabtu.
Beliau berkata bahawa tugas utama pemerintahnya adalah untuk menjadikan pelan tindakan yang dibentangkan pada kongres parti ke-20 pada Oktober 2022 menjadi satu "pelan kerja".
"Ini adalah mesej jelas yang kami sebarkan kepada dunia luar," ujarnya.
Menyedari bahawa Singapura telah terlibat secara mendalam dalam usaha pemodenan China sejak detik awal reformasi dan pembukaan negara itu, Encik Li berkata bahawa pihaknya mahu membawa hubungan dua hala itu ke tahap baru supaya secara bersama-sama, kededua negara boleh membawa manfaat kepada rakyat dan menyumbang kepada keamanan, kestabilan, pembangunan, kemakmuran dan rancangan selanjutnya.
Encik Li mengambil alih jawatan Perdana Menteri China daripada Encik Li Keqiang tiga minggu lalu, ketika China tamat proses penyerahan kepimpinan dua kali dalam sedekad semasa mesyuarat parlimen tahunannya.
Presiden China, Encik Xi Jinping, sebelum ini menyatakan bahawa beliau berharap dapat mengecilkan jurang pendapatan dan ketidaksamaan pendapatan di China yang semakin meluas dalam kalangan wilayah berbeza di negara itu sebagai sebahagian daripada kempen nasional yang dipanggil "kemakmuran bersama".
Pemerintah baru, yang diketuai oleh Encik Li Qiang, juga berhasrat meningkatkan pemulihan negara dengan ekonomi kedua terbesar di dunia itu, yang telah terjejas oleh dasar ketat sifar-Covid yang diperkenalkan dan hanya berakhir pada penghujung 2022.
Menganggap Encik Lee sebagai "rakan lama yang dikenali oleh orang China", Encik Li mengimbas kembali perbualan terakhirnya dengan perdana menteri Singapura itu di Shanghai pada 2018, apabila kedua-dua pemimpin itu membincangkan tadbir urus bandar moden dan pembangunan perindustrian.
Encik Li berkata Encik Lee telah bekerja keras untuk membincangkan "kesejahteraan rakyat dan cara menyampaikan manfaat yang ketara kepada rakyat".
"Saya kagum dengan perbualan kami," kata Encik Li, yang ketika itu merupakan ketua parti Shanghai.
"(Beliau) juga bercakap tentang kepelbagaian budaya dan keterangkuman," tambahnya.
Pada masa itu, Encik Lee telah mengunjungi hab kewangan China selepas pergi ke Hainan, di mana beliau menghadiri Forum Boao untuk Asia, inisiatif yang diketuai China untuk membincangkan cabaran pembangunan dan penyelesaian di Asia.
Encik Lee adalah antara pemimpin asing pertama yang melawat China sejak Perdana Menteri Li mengambil alih sebagai pemimpin negara itu.
"Kedua-dua pihak kami mementingkan hubungan dua hala ini dan kami gembira melihat keakraban hubungan ini," kata Encik Li.
Dalam ucapan pembukaannya, Encik Lee berkata bahawa Singapura dan China mempunyai "asas yang sangat kukuh untuk membawa hubungan itu ke hadapan".
Membentangkan maklumat terkini mengenai projek antara pemerintah Singapura dengan China di Tianjin, Chongqing dan Suzhou, Encik Lee berkata bahawa Taman Perindustrian Suzhou, yang menyambut ulang tahun ke-30 pada 2024, "adalah contoh projek matang dan berjaya yang boleh dilakukan oleh dua negara ini bersama-sama dengan keazaman, secara konsisten dan dengan kerja keras dan muhibah serta kepercayaan yang mendalam dan persefahaman bersama yang dikekalkan selama beberapa dekad".
Inisiatif Ketersambungan Chongqing "sesuai dengan Inisiatif Jalur dan Jalansan China serta keperluan untuk menghubungkan antara kawasan barat China yang hebat dan dunia luar melalui koridor ke Singapura, Asia Tenggara dan seterusnya", kata Encik Lee.
Beliau merujuk kepada Inisiatif prasarana global utama China yang bertujuan mengikuti laluan perdagangan purba yang terlaksana sebelum ini.
"Justeru, kami mempunyai pelbagai kerjasama dan terdapat banyak bidang kerjasama khusus yang boleh kami lakukan lebih banyak lagi," tambah Encik Lee.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg