Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

China, negara Arab meterai perjanjian pelaburan berbilion dolar

Libatkan perjanjian pelaburan AS$10 bilion – sebahagian besar projek di Arab Saudi atau oleh firma Saudi dan entiti kerajaan
Jun 12, 2023 | 12:57 PM
BUKA RUANG PELABURAN:  Para peniaga China dan Arab menghadiri Persidangan  Perniagaan China-Arab ke-10 di Riyadh pada Ahad.
BUKA RUANG PELABURAN: Para peniaga China dan Arab menghadiri Persidangan Perniagaan China-Arab ke-10 di Riyadh pada Ahad. - Foto AFP

RIYADH: Arab Saudi mengumumkan pada Ahad perjanjian pelaburan berbilion dolar antara China dengan Dunia Arab, pada hari pertama persidangan perniagaan China-Arab di Riyadh.

Pertemuan itu diadakan di tengah-tengah hubungan komersial dan diplomatik yang kian meningkat antara Beijing dengan negara-negara Timur Tengah.

Ia termasuk pemulihan hubungan baik yang diusahakan China antara kuasa besar Iran dengan Arab Saudi yang telah mengubah hubungan serantau.

Buat julung-julung kalinya kerajaan kaya dengan minyak itu menganjurkan persidangan edisi ke-10 itu.

Dalam tempoh dua hari, ia menghimpunkan lebih 3,500 pegawai kerajaan dan para peniaga dari China dan negara-negara Arab, kata kementerian pelaburan Saudi dalam satu kenyataan.

Acara itu “menandai hari pertamanya dengan menandatangani perjanjian pelaburan AS$10 bilion ($13.4 bilion)“, kata kenyataan itu – sebahagian besarnya adalah untuk projek di Arab Saudi atau oleh firma-firma Saudi dan entiti kerajaan.

Jumlah itu termasuk Memorandum Persefahaman (MOU) AS$5.6 bilion antara kementerian pelaburan Saudi dengan Human Horizons, pengeluar kereta elektrik dan pandu sendiri dari China.

Lebih separuh daripada jumlah itu adalah dalam MOU serta “perjanjian kerjasama” berasingan dan “perjanjian rangka kerja” yang melibatkan syarikat lain, menurut kenyataan itu lagi.

Ia memperincikan perjanjian dalam pelbagai bidang termasuk teknologi, pertanian, tenaga boleh diperbaharui, hartanah, sumber asli dan pelancongan.

Di majlis pelancaran persidangan itu, Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan, menekankan potensi dalam peningkatan hubungan perdagangan dan ekonomi antara China dengan negara-negara Arab.

“Pertemuan (ini) adalah satu peluang... untuk membina masa depan bersama ke arah era baru yang bermanfaat untuk rakyat kita,” katanya.

Menurut kenyataan Arab Saudi lagi, perjanjian AS$533 juta telah dimeterai antara Syarikat AMR ALuwlaa dengan Zhonghuan International Group (Hong Kong) untuk penubuhan kilang keluli di Arab Saudi.

Saudi ASK Group dan China National Geological & Mining Corp menandatangani perjanjian kerjasama AS$500 juta mengenai perlombongan tembaga di Saudi, tambah kenyataan itu.

Presiden China, Encik Xi Jinping pada Disember melawat Arab Saudi – pengeksport minyak mentah terbesar dunia – mencetuskan kritikan daripada sekutu lama Riyadh iaitu Amerika Syarikat.

Ditanya mengenai kritikan Amerika, Menteri Tenaga Saudi, Putera Abdulaziz bin Salman, berkata: “Saya mengabaikannya.” – AFP.

Laporan berkaitan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg