
HONG KONG: China akan menyokong penuh usaha Hong Kong melaksanakan strategi koronavirus sifar ketika wilayah itu memerangi wabak yang semakin meningkat.
China "sangat prihatin" tentang keselamatan, kesihatan penduduk serta ekonomi dan mata pencarian rakyat, ujar jurucakap Pejabat Hal Ehwal Hong Kong dan Macau (HKMAO), yang berada di bawah Majlis Negara atau kabinet China dalam satu kenyataan semalam.
HKMAO akan mengadakan pertemuan di negara jiran Shenzhen "dalam masa terdekat" antara China dan pegawai Hong Kong untuk "mengekalkan kestabilan" dan menghasilkan dasar untuk menyokong usaha Hong Kong menentang penyakit itu.
"Selagi Hong Kong bertanya, China pasti akan menjawab... Dengan berganding bahu, kita pasti akan dapat mengatasi wabak itu tidak lama lagi," ujar kenyataan itu lagi.
Hab kewangan global itu telah menyaksikan peningkatan sepuluh kali ganda kes sejak 1 Februari lalu dan pakar perubatan memberi amaran bahawa bandar raya itu boleh mengalami 28,000 jangkitan harian menjelang akhir Mac, di kalangan warga tua yang tidak mendapatkan vaksin menjadi kebimbangan.
Peningkatan itu terbukti sebagai ujian terbesar bagi dasar sifar virus Hong Kong kerana kapasiti untuk katil hospital, pengasingan dan ujian koronavirus menghampiri maksimum.
Polisi sifar Covid-19 di Hong Kong ibarat 'telur di hujung tanduk' pada Sabtu lepas apabila pihak berkuasa mengumumkan jangkitan baharu tertinggi sekali gus mendorong pihak berkuasa meningkatkan ujian saringan dan memberi amaran.
Langkah kawalan ketat mungkin diperlukan.
Seperti China dan kebanyakan rantau Asia Timur lain, Hong Kong melaksanakan strategi memerangi virus Covid-19 menerusi pengesanan kontak, perintah berkurung bersasar dan tempoh kuarantin yang panjang.
Pada Sabtu lalu, Hong Kong merekodkan 351 kes disahkan iaitu angka jangkitan harian tertinggi sejak pandemik Covid-19 bermula, manakala 161 kes terbabit didapati sama ada tidak dapat dikesan sumbernya atau masih disiasat.
"Berdasarkan peningkatan kes semasa, kami menganggarkan fasiliti kuarantin akan penuh dan tidak dapat menempatkan semua pesakit tidak lama lagi," kata ketua kesihatan, Cik Sophia Chan kepada wartawan.
Beliau menggesa penduduk Hong Kong supaya duduk di rumah untuk memperlahankan penyebaran virus Covid-19, namun tambahnya, analisis sisa kumbahan menunjukkan koronavirus ditemui di sebahagian besar bandar raya itu.
Pegawai-pegawai kesihatan berkata, mereka akan melonggarkan peraturan yang menyaksikan beribu-ribu kontak rapat pesakit ditahan di fasiliti-fasiliti kuarantin pemerintah sekali gus membayangkan kumpulan tersebut mungkin dibenarkan menjalani kuarantin kendiri di kediaman masing-masing.
Langkah itu akan mengosongkan katil-katil di hospital selain mengambil kira bahawa Omicron yang menjadi varian dominan di pulau itu, menyebabkan simptom yang lebih ringan.
Pada bulan lalu, pihak berkuasa 'mengurung' beribu-ribu penduduk di sebuah kejiranan awam selepas satu kluster 'superspreader' dikesan sekali gus mengundang kritikan orang awam.
Lonjakan kes di Hong Kong itu berlaku pada hari kelima cuti Tahun Baharu Cina yang mana pemerintah memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak berkumpul bersama keluarga. - Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg