Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

China undang AS bincang atasi krisis alam sekitar bersama

May 6, 2023 | 5:30 AM
WAWANCARA: Wakil Amerika Syarikat bagi hal ehwal iklim, Encik John Kerry, telah menghadiri satu wawancara sewaktu persidangan mengenai pemanasan global di Berlin. - Foto REUTERS
WAWANCARA: Wakil Amerika Syarikat bagi hal ehwal iklim, Encik John Kerry, telah menghadiri satu wawancara sewaktu persidangan mengenai pemanasan global di Berlin. - Foto REUTERS -

BERLIN: Utusan Presiden Amerika Syarikat bagi ehwal iklim, Encik John Kerry, berkata pada Rabu lalu bahawa China telah mengundang beliau melawat negara itu dan mengadakan perbincangan bagi mengatasi krisis alam sekitar global, walaupun hubungan diplomatik antara dua buah negara pengeluar gas hijau terbesar dunia itu, masih tegang.

Amerika dan China mesti bekerja bersama-sama bagi menangani isu perubahan iklim ini, kata Encik Kerry dalam satu wawancara, di luar persidangan mengenai pemanasan global di Berlin.

Presiden Amerika, Encik Joe Biden, telah memberi kuasa kepada Encik Kerry bagi mengadakan mesyuarat itu,tetapi masanya masih belum dapat ditentukan dan beberapa isu tertentu mesti dijelaskan terlebih dulu, kata Encik Kerry.

China, contohnya, mesti memberikan rancangannya untuk mengurangkan pelepasan gas methane dan mengubah daripada penggunaan arang batu.

"Ini harus menjadi suatu kerjasama, tanpa mengecualikan perbezaan terhadap perkara-perkara lain yang ada," kata Encik Kerry.

"Ini bukan isu dua hala. Ini adalah isu ancaman global terhadap semua orang di setiap negara."

Merujuk kepada Amerika dan China, mantan setiausaha negara Amerika itu berkata:

"Dua buah kuasa ekonomi terbesar dunia ini, adalah penyumbang utama bagi masalah ini, perlu tampil bersama dan bekerja untuk cuba membantu menghuraikannya."

Beliau berkata Amerika mungkin boleh membantu China mengatur strategi penggunaan methane, satu dasar yang harus diumumkan oleh Beijing pada 2022, tetapi belum berbuat demikian.

Pada 2022, China menggantung buat sementara, rundingan dengan Amerika mengenai iklim, keselamatan dan lain-lain perkara, sebagai membantah lawatan speaker Dewan Kongres Amerika, Cik Nancy Pelosi, ke Taiwan.

Walaupun China kemudiannya menyambung semula rundingan, hubungan antara kedua buah negara terganggu sekali lagi selepas apa yang disifatkan oleh Amerika sebagai pencerobohan belon risik China di ruang angkasa Amerika, pada Februari lalu.

Insiden itu memaksa Setiausaha Negara Amerika, Encik Antony Blinken, menangguhkan lawatan yang telah dijadualkannya ke Beijing.

Hingga kini, Jabatan Negara Amerika masih berminat untuk mengatur semula lawatan Encik Blinken, walaupun tarikhnya belum lagi ditetapkan.

Encik Blinken berkata pada Rabu lalu bahawa beliau berharap akan dapat menyusun semula jadual lawatan itu dalam tahun 2023 ini juga.

Encik Kerry telah mengadakan perbualan maya dengan rakan sejawatannya di China, Encik Xie Zhenhua "seminggu dua yang lalu."

"China telah mengundang saya untuk melawat negara itu, untuk sama-sama melaksanakan kerja-kerja yang telah diatur beberapa tahun lalu, bagi mencari jalan memajukan lagi kerjasama yang bermanfaat bagi dunia.

"Diharapkan, kami akan dapat berbuat demikian," katanya.

Encik Kerry juga dikatakan telah mengadakan pertemuan singkat dengan perwakilan China yang menghadiri dialog iklim Petersberg itu di Berlin yang dianjurkan oleh Pejabat Ehwal Luar Jerman.

Ditanya sama ada China mengemukakan sebarang pendekatan membina, Encik Kerry berkata "adalah terlalu awal untuk bercakap mengenai perkara itu".

"Saya harus mengadakan mesyuarat. Saya harus menentukan dulu kedudukan kita.

"Kami tidak menuding ke arah sesiapa juga, dan tidak akan berbuat demikian." - Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg