Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

China, WHO seharusnya tindak lebih pantas: Panel bebas

Penilaian di awal krisis Covid-19 'tunjuk adanya ruang bagi tindakan lebih pantas'
Jan 20, 2021 | 5:30 AM
JAGA KESIHATAN DIRI: Sekumpulan pekerja penjagaan kesihatan semalam bersiap sedia untuk mengangkat sampel untuk ujian lanjut di Pasar Thanon Mitr, Bangkok, Thailand, dalam usaha membendung penularan Covid-19 di negara itu. - Foto AFP
JAGA KESIHATAN DIRI: Sekumpulan pekerja penjagaan kesihatan semalam bersiap sedia untuk mengangkat sampel untuk ujian lanjut di Pasar Thanon Mitr, Bangkok, Thailand, dalam usaha membendung penularan Covid-19 di negara itu. - Foto AFP -

GENEVA: China dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) seharusnya boleh bertindak lebih pantas dalam mengelak malapetaka semasa peringkat awal penularan koronavirus Covid-19, menurut pandangan panel pakar bebas.

Panel Bebas bagi Kesiapsiagaan dan Respons Pandemik berkata, penilaiannya di awal krisis "menunjukkan adanya ruang bagi tindakan lebih pantas".

Langkah pembendungan seharusnya dilaksanakan serta-merta di semua negara di mana penularan boleh berlaku, kata panel itu dalam laporan yang dibentangkan kepada WHO semalam.

Virus Covid-19 mula dikesan di pusat kota Wuhan pada lewat 2019 sebelum ia menular melepasi sempadan China hingga meranapkan banyak negara dunia, mengorbankan lebih dua juta jiwa sejauh ini dan meranapkan ekonomi.

Panel itu berkata, "adalah jelas langkah kesihatan awam boleh dilaksanakan dengan lebih penekanan oleh pihak berkuasa tempatan dan negara di China pada Januari (tahun) lalu".

Laporan itu juga mengkritik WHO kerana lembab semasa permulaan krisis, menunjukkan ia tidak mengerahkan tindakan jawatankuasa kecemasan sehinggalah pada 22 Januari 2020.

Jawatankuasa itu juga gagal bersetuju untuk mengisytiharkan penularan Keprihatinan Antarabangsa bagi Kecemasan Kesihatan Awam (PHEIC) - tahap kewaspadaan tertinggi - sehinggalah seminggu kemudian.

"Adalah tidak jelas kenapa jawatankuasa tidak bertemu sehinggalah minggu ketiga Januari, dan tidak jelas mengapa ia tidak dapat bersetuju tentang pengisytiharan (PHEIC)... apabila ia mula bersidang," menurut laporan itu.

WHO juga berdepan dakwaan ia lambat mengisytiharkan keadaan yang berlaku sebagai krisis antarabangsa, mengesahkan virus telah menular dan perlunya memakai pelitup.

Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menuduh pertubuhan itu sebagai memburukkan langkah menangani pandemik dan "menjadi boneka China".

Panel yang dipimpin mantan perdana menteri New Zealand, Cik Helen Clark, dan mantan presiden Liberia, Cik Ellen Johnson Sirleaf, itu memulakan tugasnya pada Julai lalu selepas negara-negara WHO menggesa diadakan penilaian menyeluruh yang "bebas dan tidak berpihak" terhadap respons pertubuhan itu dalam menangani pandemik Covid-19.

Sementara itu, pandemik Covid-19 telah memperlahankan migrasi global sebanyak hampir 30 peratus, menurut satu laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dikeluarkan kelmarin.

Menurut laporan itu, jumlah migran menurun kira-kira 2 juta orang antara 2019 hingga 2020.

Kira-kira 281 juta orang tinggal di luar negara asal mereka pada tahun lalu.

Laporan bertajuk Migrasi Antarabangsa 2020 itu turut menunjukkan dua pertiga daripada migran berdaftar tinggal di 20 negara.

Amerika mendahului senarai terbabit dengan mencatatkan 51 juta migran antarabangsa pada tahun lalu.

Ini diikuti Jerman (16 juta), Arab Saudi (13 juta), Russia (12 juta) dan Britain (sembilan juta).

India pula mendahului senarai negara dengan diaspora terbesar pada tahun lalu, di mana 18 juta rakyatnya dilaporkan tinggal di luar negara kelahiran mereka.

Sementara itu, syarikat farmaseutikal Amerika, Pfizer, dilapor memaklumkan penghantaran vaksin keluarannya akan menjadi perlahan bagi tempoh tertentu pada akhir bulan ini, sekali gus memberi tamparan kepada kempen imunisasi terbabit.

Kelmarin, WHO menggesa pelaksanaan vaksinasi itu dipercepatkan di seluruh dunia, selain usaha mengkaji jujukan virus berkenaan dipertingkat untuk menangani kemunculan varian baru. - AFP.

"Adalah tidak jelas kenapa jawatankuasa tidak bertemu sehinggalah minggu ketiga Januari, dan tidak jelas mengapa ia tidak dapat bersetuju tentang pengisytiharan (PHEIC)... apabila ia mula bersidang." - Laporan yang diterbitkan Panel Bebas bagi Kesiapsiagaan dan Respons Pandemik. Ia dibentuk susuli desakan negara-negara anggota WHO supaya diadakan penilaian menyeluruh yang "bebas dan tidak berpihak" terhadap respons pertubuhan itu dalam menangani pandemik Covid-19.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg