PEMIMPIN baru kerajaan New Zealand Encik Chris Hipkins terkenal di kalangan anggota parlimen sebagai seorang yang suka berjenaka termasuk menjadikan dirinya sebagai bahan jenaka.

Encik Hipkins, yang dibesarkan di Lembah Hutt di utara ibu kota Wellington, berkata "ibu bapanya berasal dari permulaan yang agak sederhana dan bekerja keras untuk menyediakan kehidupan yang baik" untuk beliau dan abangnya.

Beliau pernah dilantik menteri polis pada pertengahan 2022 di tengah gelombang jenayah yang berlaku di negara itu dan pernah berkhidmat sebagai menteri pendidikan, menteri perkhidmatan awam, serta ketua Dewan.

Sebelum dipilih sebagai ahli parlimen, beliau pernah menjadi penasihat kanan kepada dua menteri pendidikan dan juga pernah berkhidmat di pejabat bekas Perdana Menteri Cik Helen Clark.

Penggemar sukan luar dan gemar menunggang basikal, menerima perhatian kerana sering berulang-alik dengan basikal dari ibu kota Wellington ke rumahnya di bandar berdekatan.

Encik Hipkins kini kelihatan agak lembut berbanding zaman awalnya sebagai pelopor politik pelajar.

Beliau pernah diberkas pada penghujung 1990-an semasa membantah cadangan pembaharuan kepada pendidikan universiti.

Selera makan dan minumnya juga menarik perhatian rakan sekerjanya, dengan bekas ketuanya pernah menyatakan bahawa Encik Hipkins "nampaknya tidak makan apa-apa selain sosej gulung dan minum Diet Coke".

Menteri Kehakiman Cik Kiri Allan, menyifatkan Encik Hipkins sebagai seorang yang tegas dan seorang pemimpin yang "sangat kuat".

"Beliau sangat cekap, dengan rekod prestasi sebagai salah seorang menteri paling kanan kami sejak enam tahun lalu," katanya.

Biarpun mempunyai kebijaksanaan politik yang tajam, Encik Hipkins juga pernah digiat kerana pilihan fesyennya

Encik Hipkins pernah berseloroh: "Mungkin saya tidak mempunyai selera fesyen terbaik di parlimen."

Pemimpin New Zealand itu merupakan lulusan Universiti Victoria di ibu kota Wellington dalam jurusan politik dan kriminologi dan kemudian bekerja dalam sektor latihan industri.

Walaupun dikenali sebagai karyawan yang sopan dan santai, Encik Hipkins juga mampu bermain politik - dan pernah terlibat dalam beberapa pertengkaran berprofil tinggi dengan bekas kerajaan konservatif Australia.

Pada 2021, beliau menuduh Australia "mengeksport sampahnya" ke New Zealand - merujuk kepada dasar kontroversi Canberra menghantar pulang penjenayah ke negara kelahiran mereka.

Encik Hipkins juga pernah ditegur Cik Ardern pada 2017 selepas beliau dituduh mendalangi peletakan jawatan timbalan perdana menteri Australia ketika itu, Encik Barnaby Joyce.

Encik Hipkins, semasa menjadi anggota parlimen, pernah membentangkan pertanyaan - yang jawapannya menunjukkan Encik Joyce memiliki dua warganegara - Australia dan New Zealand. Hakikat itu menyebabkan Encik Joyce hilang kelayakan untuk berkhidmat di parlimen di bawah perlembagaan Australia. - AFP