SEMINGGU selepas berlangsungnya pilihan raya presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, yang ketika itu telah pun mendapat petanda awal akan kemenangan beliau, telah memberitahu beberapa sekutu rapatnya, "Amerika sudah kembali".
Ketika itu, Perdana Menteri British, Encik Boris Johnson; Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron; dan Canselor Jerman, Cik Angela Merkel, antara mereka yang pantas menyampaikan ucapan tahniah kepada pemimpin Parti Demokrat itu setelah berjaya menewaskan Presiden Donald J. Trump - yang hanya sempat menduduki Rumah Putih selama sepenggal (2017 hingga 2021) sahaja.
"Saya maklumkan pada mereka bahawa Amerika sudah kembali. Kita akan kembali. Amerika tidak bersendirian," kata Encik Biden kepada wartawan di kediamannya di Delaware pada 10 November lalu.
Kini, tiga bulan kemudian, Encik Biden sekali lagi mengulangi kenyataan yang sama - Amerika sudah kembali.
Lebih mengujakan, kenyataan itu diulangi kepada sekutu yang sama.
Ini jelas menunjukkan Encik Biden, dalam sudut perhubungan antarabangsa, lebih berkeyakinan dalam mengesahkan agenda Amerika berteraskan konstruktivisme.
Secara asasnya, negara-negara sekutu memupuk kesefahaman dalam mendukung kepentingan bersama, saling bergantungan bagi kemakmuran jangka panjang.
Jadinya, dengan Encik Biden mengisytiharkan 'kerjasama rentas Atlantik' kini kembali, ia bererti sekitaran dan suasana hubungan diplomatik di antara Amerika dengan sekutunya di Eropah telah pulih.
Ringkasnya, dasar pengasingan dan peminggiran yang mengutamakan Amerika, sebagaimana diperkenalkan pentadbiran Trump dahulu, tidak lagi menjadi sandaran dalam era kepimpinan Encik Biden.
Malah, Amerika bertekad bekerjasama semula dengan negara di benua Eropah dan meraih sokongan serta kepercayaan benua lainnya dalam menangani serangan sejagat terhadap demokrasi.
Yang tersurat di sebalik langkah ini adalah, Presiden Biden mahu dunia kembali meyakini kepimpinan Washington.
"Saya memberi mesej jelas kepada dunia. Amerika kini kembali. Sekutu rentas Atlantik kembali.
"Amerika tekad bekerjasama semula dengan Eropah untuk berunding dengan anda, mendapatkan kembali kedudukan kepemimpinan yang dipercayai," katanya berucap dalam Persidangan Tahunan Keselamatan Munich secara dalam talian susulan pandemik Covid-19, di Rumah Putih, minggu lalu (22 Feb).
Cik Merkel menyambut baik pemulihan hubungan Amerika-Eropah selepas beberapa tahun berselisih dengan Encik Trump.
Encik Biden semasa berucap di depan pemimpin negara-negara maju G7 - Britain, Perancis, Jerman, Italy, Jepun dan Canada, selain Amerika, menegaskan pentadbirannya lebih menekankan usaha mengukuhkan hubungan dengan negara sekutu - berbeza dengan dasar pengasingan dan layanan kasar presiden terdahulu.
"Kerjasama kami bertahan dan berkembang beberapa tahun kerana mereka berpaksikan kepada kekayaan nilai demokrasi bersama kami.
"Mereka bukan sekadar rakan urus niaga. Mereka bukan sembarangan," katanya merujuk kepada penekanan Encik Trump bahawa sekutu Amerika adalah 'pesaing ekonomi'.
Amerika juga memimpin usaha sedunia dalam meningkatkan sumbangan global untuk Covax dengan menambah pembiayaan sebanyak $2 bilion bagi 2021 dan 2022, yang menyaksikan AS$500 pertama disediakan apabila penderma sedia ada yang berikrar memenuhi penyediaan dos awal bagi disalurkan ke negara-negara AMC.
Menurut Encik Biden, perpaduan adalah satu-satunya kaedah untuk berjaya dalam persaingan di seluruh dunia, ketika demokrasi dan autokrasi berada pada 'titik perubahan'.
"Di kebanyakan tempat, termasuk di Eropah dan Amerika, kedudukan demokrasi sedang menghadapi ancaman.
"Sejarawan akan meneliti dan menulis detik ini. Ini adalah titik perubahan. Saya percaya dengan setiap nilai, demokrasi pasti berlaku," katanya.
Ini bererti, Encik Biden tidak mahu pemimpin G7 atau G8 - jika dilibatkan sama Russia - terus dibelenggu dengan dasar-dasar hubungan luar Trump - yang telah disisihkan.
Tidak cukup dengan itu, Encik Biden juga berazam memulihkan hubungan Amerika dengan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) yang retak sejak beberapa tahun lalu.
Dengan hubungan Amerika-Turkey kini bersandar pada hubungan saling memenangkan kedua-dua pihak, ia menjadi simbol harapan keutuhan semula Nato.
Di benua sebelah sini pula, Encik Biden juga telah memperbaharui pakatan empat penjuru digelar 'Quad' dengan Australia, India dan Jepun.
Ini sekali gus 'mengenepikan' amaran China sebelum ini.
Dilancarkan pada 2007, Quad adalah idea Perdana Menteri Jepun ketika itu, Encik Shinzo Abe, sebagai usaha mengimbangi pengaruh dan kekuasaan China yang meluas.
Pada November 2020, pakatan Quad telah menjalankan latihan tentera laut empat penjuru di Teluk Benggala dan Laut Arab, dengan Australia mengambil bahagian buat pertama kalinya dalam tempoh lebih sedekad.
China, bagaimanapun, tidak ambil ringan dan menyatakan dalam laporan Global Times awal bulan lalu bahawa usaha Amerika memperbaharui Quad merupakan "kesalahan strategik yang serius".
Namun, dengan India berasa tercabar dengan China akibat konflik di Banjaran Himalaya yang berlaku pada Jun tahun lalu mengakibatkan 20 anggota tentera India terkorban, hubungan strategik India-Amerika menerusi Quad tentunya memberi kelebihan kepada India.
Dalam meredakan ketegangan di Asia Barat pula, Encik Biden telah mengulangi janjinya untuk kembali ke meja rundingan dengan Teheran dalam program nuklearnya, tetapi menegaskan aktiviti yang menggugat kestabilan Iran dan seluruh Asia Barat perlu ditangani sebaiknya.
Ini sekali gus menyerlahkan kepimpinan Encik Biden yang akur pada kepentingan bersama dan realisme semasa demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran sejagat.
Esok: Parti Republikan penasaran diragut igauan
MAHU KEPIMPINAN AMERIKA DIYAKINI
"Saya maklumkan pada mereka bahawa Amerika sudah kembali. Kita akan kembali. Amerika tidak bersendirian...
Saya memberi mesej jelas kepada dunia. Amerika kini kembali. Sekutu rentas Atlantik kembali.
Amerika tekad bekerjasama semula dengan Eropah, untuk berunding dengan anda, mendapatkan kembali kedudukan kepemimpinan yang dipercayai." - Presiden Amerika Syarikat Joe Biden.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg