BRAZIL: Pemimpin dunia berhimpun dari 10 November hingga 21 November di Belem, Brazil, di pinggir hutan Amazon, bagi menghadiri rundingan iklim tahunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Persidangan Perubahan Iklim ke-30 (COP30). Namun suasananya dirasakan janggal. Senarai kehadiran kali ini jauh lebih tipis berbanding tahun-tahun sebelumnya.
China, Russia dan Jepun tidak hadir. Begitu juga Australia, Indonesia dan Turkey. Namun ketiadaan yang paling ketara ialah Amerika Syarikat.
Buat pertama kalinya sejak rundingan iklim bermula 30 tahun lalu, Washington tidak menghantar walau seorang pun pegawai kanan. Hakikat ini mencetuskan persoalan besar: bolehkah dunia menangani perubahan iklim tanpa Amerika Syarikat?
Sejak Perjanjian Paris dimeterai pada 2015, hampir semua negara bersetuju mengehadkan kenaikan suhu global kepada bawah 2°C, dan menyasarkan 1.5°C berbanding era pra-industri.
Berita baiknya: pertumbuhan pelepasan karbon global semakin perlahan.
Menurut unjuran, jika negara-negara mengekalkan dasar semasa, suhu purata dunia dijangka meningkat antara 2.5 darjah selsius (°C) dan 2.9°C menjelang akhir abad ini. Ini masih buruk, tetapi lebih baik berbanding unjuran 10 tahun lalu.
Namun kemajuan ini berlaku ketika Amerika, negara pengeluar minyak terbesar dunia dan pengeksport gas asli terbesar semakin menarik diri. “Trump menganggap perubahan iklim satu ‘penipuan’, dan pentadbirannya kini menarik keluar Amerika daripada Perjanjian Paris buat kali kedua,” lapor seorang penganalisis.
Tidak cukup dengan meninggalkan komitmen domestik untuk mengurangkan penggunaan bahan api fosil, pentadbiran Amerika turut menggagalkan perjanjian global untuk mengehadkan pengeluaran plastik berasaskan petroleum serta menggagalkan percubaan pertama dunia mengenakan cukai pelepasan terhadap industri perkapalan.
Bagi negara-negara membangun, ketidakhadiran Amerika bukan sekadar isu simbolik. Mereka bergantung kepada pembiayaan negara kaya untuk beradaptasi dengan kesan pemanasan global. “Negara-negara miskin tidak mencetuskan krisis ini, namun mereka yang paling terkesan,” kata seorang diplomat Afrika.
Siapa Mengisi Ruang Kepimpinan di COP30?
Jika Amerika berundur, siapakah yang mengambil alih? Banyak harapan kini disandarkan kepada China serta ekonomi pesat membangun.
China ialah penyumbang terbesar pelepasan karbon global. Namun pada masa yang sama, negara itu adalah peneraju dunia dalam tenaga boleh baru. Pada 2024, China memasang turbin angin dan panel solar lebih banyak daripada gabungan seluruh dunia. Ia juga mendominasi teknologi hijau daripada bateri kenderaan elektrik (EV) hingga bahan mentah penting dan kini mengeksportnya secara besar-besaran.
Menurut analisis The Economist, nilai eksport teknologi hijau China kini mengatasi hasil eksport minyak dan gas Amerika Syarikat. Teknologi yang murah dan mudah diperoleh membolehkan negara seperti Brazil, Afrika Selatan dan India beralih dengan lebih pantas kepada tenaga boleh diperbaharui. “Harga yang rendah inilah yang menjadikan peralihan global kepada teknologi hijau lebih realistik,” ujar seorang penyelidik.
Namun paradoksnya, lonjakan teknologi hijau China turut didorong oleh pertumbuhan selari loji arang batu. Namun data terkini menunjukkan pelepasan karbon China dijangka meningkat hanya 0.4 peratus tahun 2025 ini atau mungkin mula menurun.
Walaupun kemajuan berlaku, suhu dunia terus meningkat. Sepuluh tahun kebelakangan ini merupakan tempoh paling panas dalam sejarah moden. Tahun 2024 menjadi tahun paling panas pernah direkodkan, dengan gelombang haba membunuh petugas pilihan raya di India dan jemaah haji di Arab Saudi.
Di banyak negara, masyarakat sudah mula menyesuaikan diri. Di India, sebuah kesatuan wanita memperkenalkan skim insurans kecil untuk pekerja terkesan akibat panas ekstrem. Di Malawi dan Uganda, petani menukar tanaman bagi menyesuaikan diri. Namun, menurut seorang pakar, dana global untuk adaptasi “jauh daripada mencukupi”.
Dalam konteks ini, persoalan sebenar bukan lagi sama ada dunia mahu bertindak tanpa Amerika, tetapi lebih kepada bahawa dunia terpaksa bertindak demikian. “Kita tidak boleh menunggu Amerika Syarikat. Kita perlu bertindak dengan atau tanpa mereka,” kata seorang pakar perubahan iklim.
Pengeluaran besar-besaran teknologi hijau China semakin mengubah trajektori pembangunan negara lain. Kereta elektrik buatan China kini menggantikan enjin pembakaran dalam di Vietnam, Nepal dan Ethiopia. Panel solar Cina membanjiri pasaran dunia, membolehkan negara miskin mengurangkan kebergantungan kepada arang batu. “China cuba menampilkan dirinya sebagai tonggak kestabilan global,” lapor dua wartawan di Belem.
Dilema Tuan Rumah Brazil
Presiden Luiz Inácio Lula da Silva menyeru masyarakat antarabangsa membangunkan satu pelan hala tuju yang menyeluruh untuk mengakhiri kebergantungan global terhadap bahan api fosil. Dalam pentas diplomasi iklim, gesaan itu dianggap berani dan jarang diungkapkan dengan begitu langsung oleh sebuah negara yang masih meraih hasil ekonomi daripada industri minyak dan gas.
Seruan Lula menandakan hasrat Brazil untuk menonjol sebagai kuasa iklim baharu, sekali gus mengisi kekosongan kepimpinan global yang muncul selepas Amerika Syarikat memilih untuk tidak menghadiri COP30. Namun di sebalik keghairahan diplomatik itu, wujud ironi yang semakin sukar disembunyikan.
Hanya beberapa minggu sebelum pemimpin dunia berkumpul di Belém, kerajaan Brazil meluluskan langkah kontroversi yang membuka peluang kepada penggerudian minyak berhampiran muara Sungai Amazon kawasan yang selama ini dianggap sebagai antara ekosistem paling rapuh, kaya biodiversiti dan penting bagi kestabilan iklim dunia. Keputusan itu dilihat bercanggah dengan imej negara yang ingin mempelopori agenda peralihan tenaga hijau.
Tindakan tersebut mencetuskan gelombang protes besar-besaran. Ratusan penduduk Orang Asli daripada pelbagai komuniti Amazon berhimpun lalu menyerbu pusat persidangan COP30 dengan wajah dicat, membawa kain rentang dan simbol tradisi mereka. Mereka memasuki dewan sambil menjerit slogan dalam bahasa suku masing-masing, menuntut perlindungan segera terhadap tanah nenek moyang mereka yang semakin terancam.
Keadaan itu mengubah suasana COP30 daripada sebuah sidang perundingan kepada medan kenyataan politik dan moral. “Amazon bukan untuk dijual,” jerit seorang aktivis Orang Asli ketika menerobos masuk ke ruang utama. Sorakan penunjuk perasaan bergema, memaksa wakil-wakil negara menghentikan perbincangan buat seketika.
Bagi komuniti pribumi, isu iklim tidak boleh dipisahkan daripada hak tanah, identiti budaya dan keselamatan generasi masa depan. Mereka melihat langkah membuka kawasan penggerudian sebagai ancaman eksistensial — bukan sekadar ancaman kepada biodiversiti, tetapi juga kepada cara hidup yang telah diwarisi selama berabad-abad.
Protes itu turut mencerminkan dilema besar Brazil: bagaimana sebuah negara yang bergantung kepada hasil komoditi fosil dan pertanian besar-besaran boleh menempatkan dirinya sebagai juara iklim global? Lula mungkin menuntut dunia mencari jalan keluar daripada bahan api fosil, tetapi Brazil sendiri masih bergelut melepaskan genggaman daripada keuntungan ekonomi yang datang daripada sektor itu.
Walaupun Washington tidak hadir, Gabenor California Encik Gavin Newsom memilih tampil di COP30 buat pertama kali. “Donald Trump tidak hadir di COP30, tetapi California hadir,” katanya.
Encik Newsom digambarkan sebagai bakal calon presiden 2028 yang ingin membina reputasi sebagai rakan iklim yang boleh dipercayai. Namun tindakannya melonggarkan sekatan penggerudian minyak di California menimbulkan persoalan mengenai komitmen sebenar beliau.
Suatu ketika dahulu, ketua syarikat besar Amerika berlumba-lumba menunjukkan komitmen terhadap perubahan iklim. Kini, suasananya berbeza. “Risiko memancing kemarahan pentadbiran Trump jauh lebih besar daripada manfaat mempromosikan komitmen hijau,” kata seorang pakar kepada New York Times.
Tiada pemimpin besar Apple, Exxon, Bank of America atau syarikat gergasi lain hadir di COP30. Walaupun banyak syarikat masih mengekalkan dasar hijau di belakang tabir, mereka memilih untuk tidak “menonjol” di pentas global.
Menurut seorang penyelidik di Harvard, “banyak syarikat sebenarnya meneruskan komitmen mereka cuma tanpa kempen besar-besaran seperti dahulu.” Jawapan ringkasnya: dunia boleh, tetapi dengan kos yang lebih tinggi dan risiko yang lebih besar.
Amerika ialah ekonomi terkaya dunia, pengeluar minyak terbesar, dan pemain penting dalam pembiayaan iklim global. Tanpa Washington, peralihan ke tenaga bersih menjadi kurang teratur dan lebih perlahan.
Namun hakikatnya, perubahan iklim tidak menunggu sesiapa. Dunia semakin panas, dan negara-negara terutama negara miskin perlu adaptasi dengan segera.
Sebagaimana kata seorang pakar: “Realitinya ialah kita mesti bertindak, dengan atau tanpa Amerika Syarikat. Planet ini tidak menunggu rundingan politik.” - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg