WASHINGTON: Amerika Syarikat kelmarin menyatakan kunjungan ke Singapura dan Hong Kong kini lebih membahayakan kerana lonjakan kes koronavirus dan telah meningkatkan tahap peringatan bagi kunjungan warganya ke hab kewangan Asia ke satu paras lebih tinggi.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit (CDC) Amerika berkata, mereka yang belum divaksinasi harus mengelak daripada melakukan lawatan tidak penting ke Singapura, dan mengaitkan "paras yang tinggi" bagi Covid-19.

"Semua pengunjung berdepan risiko dijangkiti dan menularkan jangkitan varian Covid-19," kata CDC, yang meningkatkan tahap amaran ke paras 3.

Pemerintah Amerika Syarikat pada minggu lalu meluluskan penggunaan dos penggalak vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech untuk warganya yang berusia 65 tahun ke atas, kumpulan dewasa dengan komorbiditi dan pekerja berisiko tinggi.

Pengumuman itu, sekali gus membolehkan puluhan juta rakyat Amerika mendapat suntikan dos ketiga iaitu enam bulan selepas menerima dos kedua.

"Tindakan hari ini menunjukkan sains dan data yang ada sekarang terus dijadikan panduan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) untuk memutuskan sebarang keputusan bagi vaksin Covid-19 dalam tempoh pandemik ini," kata pemangku Pesuruhjaya FDA, Cik Janet Woodcock.

Dalam pada itu, dunia dipercayai mampu kembali kepada kehidupan normal daripada pandemik Covid-19, dengan syarat adanya vaksinasi secara tahunan, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pfizer, Encik Albert Bourla.

"Saya setuju bahawa dalam setahun, kita akan dapat kembali kepada kehidupan normal.

"Ini tidak bermakna varian ini akan terhapus... Dan senario paling mungkin, vaksinasi tahunan. Namun, kita tidak tahu. Kita perlu menunggu dan melihat data," lapor agensi berita Sputnik yang memetik ABC News. - Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti