AMERIKA Syarikat mengumumkan peruntukan tambahan AS$225 juta (S$320 juta) bagi membantu negara-negara sedunia membiayai keperluan kesihatan, kemanusiaan dan bantuan ekonomi dalam respons mereka terhadap pandemik Covid-19.
"Bantuan terbaharu ini adalah tambahan selain bantuan hampir AS$274 juta yang telah disalurkan pemerintah Amerika Syarikat bagi menangani Covid-19. Ia juga adalah tambahan daripada lebih AS$140 bilion yang telah disalurkan secara keseluruhannya bagi tujuan bantuan kesihatan sedunia sejak 20 tahun lalu. Amerika Syarikat adalah pemimpin unggul dalam menyediakan bantuan kesihatan dan kemanusiaan, di seluruh dunia," kata Setiausaha Negara, Encik Michael R. Pompeo, dalam kenyataannya yang disampaikan kepada media asing menerusi kedutaannya di sini, hari ini.
Tambahnya, dalam soal Covid-19, tumpuan Amerika Syarikat adalah untuk membantu mengurangkan jangkitan virus menerusi pengesanan gejala, pencegahan dan kawalan jangkitan di kemudahan kesihatan, mempersiap dan memperkukuh sistem kesihatan kecemasan, mempertingkat makmal, melatih pekerja-pekerja penjagaan kesihatan dan pelbagai lagi.
"Kesemua ini adalah usaha sebagai respons ke atas penularan yang bertambah, demi menangani kesan ke atas rakyat Amerika di luar negara dan melindungi dengan lebih baik rakyat Amerika di tanahair dari dijangkiti di luar sempadan kami," katanya.
Pandemik ujarnya, tidak mengenal sempadan dan kerana itu sedang Amerika berusaha memeranginya di negara sendiri, ia turut membantu negara-negara lain mengekang penularannya.
Namun Encik Pompeo menekankan bahawa sedang ia membantu negara-negara sedunia, ia bagaimanapun perlu memastikan keperluan perubatan yang genting dapat dimanfaatkan di dalam negara terlebih dahulu.
Dalam kenyataannya itu juga, beliau menyatakan bahawa pelbagai pasukan merentasi seluruh pentadbiran Amerika - termasuk Jabatan Negara, Agensi Amerika Syarikat bagi Pembangunan Antarabangsa (USAID), Jabatan Kesihatan dan Pusat Khidmat Manusia bagi Kawalan dan Pencegahan Penyakit, Perbadanan Pembangunan Kewangan Amerika, dan lain-lain - kini bekerja sama dengan rakan-rakan dalam Kumpulan Negara G7 dan institusi lain bagi mengutamakan program untuk negara-negara yang terjejas teruk dan memerlukan bantuan.
Amerika tidak hanya menyediakan bantuan menerusi pentadbirannya sahaja. Bersama-sama rakyat Amerika, kami menyalurkan lebih AS$1.5 bilion kepada rakyat yang terjejas dengan pandemik Covid-19 di seluruh dunia menerusi perniagaan privet, kumpulan tidak meraih keuntungan, dan pertubuhan agama.
"Saya tahu, kami akan terus melakukannya untuk minggu-minggu dan bulan-bulan mendatang, sebagai bantuan kemanusiaan terbesar dunia," kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg