Topik diikuti
Pergi ke BHkuCovid-19: Australia kurangkan 50 peratus ketibaan dari luar negara
Covid-19: Australia kurangkan 50 peratus ketibaan dari luar negara
SYDNEY: Australia akan mengurangkan separuh jumlah kedatangan dari luar negara sedang sistem kuarantin hotel koronavirus negara itu kini di bawah tekanan wabak varian Delta yang berjangkit, kata Perdana Menteri Scott Morrison semalam.
Sekatan baru perjalanan itu diambil tatkala Australia memerangi wabak Delta secara serentak di tiga ibu kota negeri, yang bermakna hampir separuh warga Australia kini berada di bawah perintah ketat supaya tidak keluar rumah.
Kebanyakan jangkitan terbaru dikesan ekoran kesilapan sistem kuarantin hotel.
Australia menutup sempadan antarabangsanya pada awal tahun lalu terutamanya kepada bukan warga.
Penduduk tetap dan warga Australia yang kembali ke tanah air, kecuali mereka yang berangkat dari New Zealand, harus dikuarantin di hotel selama dua minggu dengan belanja mereka sendiri.
Encik Morrison berkata Australia kini hanya akan menerima kira-kira 3,000 pengembara dari luar negara setiap minggu.
Menurunkan jumlah itu akan dimuktamadkan pada 14 Julai, katanya, walaupun beberapa penguasa negeri boleh berbuat lebih awal.
Bercakap selepas satu mesyuarat Kabinet negara itu, Encik Morrison juga berkata satu rancangan empat fasa telah dipersetujui untuk membuka semula Australia setelah penutupan yang dicetuskan wabak terbaru.
Beliau menjelaskan ini akan didasarkan pada pencapaian tahap vaksinasi yang bertujuan membendung Covid-19 ke tahap di mana ia akan ditangani seperti penyakit berjangkit lain seperti selesema.
"Cara pemikiran kita untuk mengendali Covid-19 harus berubah setelah kita beralih dari pravaksinasi ke posvaksinasi," katanya kepada wartawan di Canberra.
Pendekatan empat fasa itu dapat memberi mereka yang diberi vaksin sepenuhnya lebih banyak kebebasan, katanya, termasuk masa kuarantin lebih pendek setelah tiba dari luar negara.
Sementara itu, ibu kota New South Wales, Sydney, bandar terbesar di Australia dan merupakan kediaman bagi seperlima 25 juta penduduk negara ini, kini melalui sekatan pergerakan selama dua minggu yang dikenakan dalam usaha mencegah varian Delta.
Sebanyak 31 kes masyarakat dilaporkan di negeri itu semalam, kenaikan kes terbesar sepanjang wabak terbaru itu bagi tahun ini.
Jumlah jangkitan meningkat menjadi lebih 200 sejak kes pertama dikesan lebih dua minggu lalu.
Pemerintah Queensland pula mengatakan peraturan sekatan akan dilonggarkan di beberapa bahagian negeri itu mulai semalam, walaupun peraturan itu telah dilanjutkan di ibu kota Brisbane dan daerah berdekatan buat satu hari lagi setelah tiga kes baru dilaporkan.
Sekatan di Darwin, ibu kota Northern Territory, juga akan ditarik balik semalam.
Sekatan di Perth pula akan disemak esok. - Reuters.