Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Covid-19: Australia mungkin terus tutup sempadan 'beberapa waktu'

Dec 4, 2020 | 5:30 AM
BELUM DIBUKA: Australia masih belum membuka sempadannya kepada bukan warga dan bukan penduduk tetap Australia, kata Encik Morrison. - Foto EPA-EFE
BELUM DIBUKA: Australia masih belum membuka sempadannya kepada bukan warga dan bukan penduduk tetap Australia, kata Encik Morrison. - Foto EPA-EFE -

SYDNEY: Sempadan Australia kemungkinan terus ditutup buat "beberapa waktu", kata Perdana Menteri Scott Morrison semalam walaupun kini terdapat kemajuan dalam penghasilan vaksin Covid-19.

Britain kelmarin meluluskan penggunaan vaksin Pfizer, yang memberi harapan bagi inokulasi Covid-19 yang cepat di seluruh dunia.

Walaupun terdapat perkembangan itu, kata Encik Morrison, Australia akan terus menutup sempadannya kepada bukan warga dan bukan penduduk tetap Australia.

"Berkaitan (pembukaan) sempadan antarabangsa, kita masih jauh dari situ," kata Encik Morrison kepada wartawan di Canberra, lapor Reuters.

Sementara itu, penguasa negeri paling ramai penduduk di Australia, New South Wales, mengatakan mulai 7 Disember ini ia akan menarik balik batasan berkaitan jumlah orang di majlis perkahwinan, di bar dan acara keagamaan selain mengakhiri larangan menari di tempat awam.

Ini setelah beberapa hari tiada kes jangkitan baru Covid-19 dilaporkan, mendorong pelonggaran sekatan jarak selamat.

Perubahan itu yang diumumkan kelmarin bertepatan dengan waktu cuti musim panas Australia dan perayaan Krismas, dan menandakan langkah penarikan terbesar sekatan sejak penutupan seluruh negara bermula pada Mac lalu untuk membendung penularan Covid-19.

Penduduk di negeri New South Wales, yang menjadi tempat tinggal sepertiga daripada 25 juta penduduk Australia, antara lain akan dibenarkan mengadakan acara di luar dewan yang boleh dihadiri sehingga 5,000 orang.

Stadium terbuka boleh beroperasi dengan kapasiti penuh, sementara teater pada 75 peratus, lapor Reuters.

New South Wales tidak mencatat sebarang jangkitan tempatan selama hampir empat minggu.

"Kami sangat berterima kasih kerana sejak awal wabak ini, masyarakat telah menerima nasihat kami (dan) memimpin seluruh negara dan kami mahu perkara ini berterusan," kata Ketua Menteri New South Wales, Gladys Berejiklian, kepada wartawan.

"Oleh kerana itu, kita berada dalam kedudukan kuat pada ketika ini."

Walaupun Australia telah melaporkan beberapa kes import Covid-19 baru dalam kalangan pengunjung yang kembali ke negara itu, secara umumnya Australia telah dapat menghentikan penularan virus dalam kalangan masyarakat melalui penjejakan kontak, langkah jarak selamat dan pemakaian wajib pelitup.

Tidak ada kes jangkitan baru yang dilaporkan di lapan negeri dan wilayah di negara itu dalam tempoh 24 jam hingga kelmarin.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg