NEW YORK: Amerika Syarikat mencatat rekod jumlah harian kes jangkitan baru Covid-19 tertinggi yang mencecah 83,948 kes pada Jumaat (23 Oktober).
Menurut agensi berita Reuters, peningkatan di hampir setiap pelosok negara ini dilaporkan kurang dua minggu di ambang Pilihan Raya Presiden pada 3 November.
Ia menjejas negeri yang menjadi 'medan pertempuran' seperti Ohio, Michigan, North Carolina, Pennsylvania dan Wisconsin.
Pada Khamis (22 Oktober), Amerika melaporkan sejumlah 76,195 kes baru.
Rekod kes jangkitan baru yang dicatat Amerika sebelum ini dalam tempoh sehari adalah 77,299 kes pada 16 Julai.
Jumlah kes di hospital turut mencecah 47,000 dengan jumlah kematian mencapai purata 1,200 individu sehari.
Menurut pakar bedah, Dr Jerome Adams, jumlah kes yang dirawat di hospital akan bertambah dalam sekitar 75 peratus kawasan merata Amerika, mencetus kebimbangan jumlah kematian juga akan meningkat dalam minggu-minggu mendatang. - Agensi Berita Reuters


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg