SHANGHAI: Pihak berkuasa Shanghai semalam mula menanggalkan sekatan pagar di sekitar kawasan perumahan dan dataran awam, menimbulkan rasa lega kepada 25 juta penduduk bandar itu, menjelang langkah menarik balik sekatan pergerakan ketat Covid-19 pada tengah malam tadi.

Sebelumnya, pada Isnin petang, sebilangan orang yang dibenarkan keluar dari perkarangan rumah mereka untuk berjalan-jalan sebentar, mengambil kesempatan dengan berkumpul di jalan raya kosong sambil minum air dan makan ais krim.

Namun masih ada rasa was-was dan cemas di kalangan penduduk.

Kebanyakannya telah tidak keluar rumah selama dua bulan lalu di bawah sekatan yang dikuatkuasakan dengan ketat dan telah menyebabkan kerugian pendapatan, tekanan dan putus asa kepada jutaan penduduk bandar itu yang terpaksa bergelut untuk mendapatkan makanan dan penjagaan kesihatan kecemasan.

Sekatan pergerakan Covid-19 yang berpanjangan telah mencetuskan kemarahan orang ramai dan bantahan yang jarang berlaku di Shanghai selain menjejas industri perkilangan dan ekonomi tinggi eksport bandar itu, mengganggu rantaian bekalan di China dan di seluruh dunia, di samping memperlahankan perdagangan antarabangsa.

Kehidupan dijangka kembali seperti biasa secara bertahap-tahap mulai hari ini, apabila kebanyakan sekatan itu ditarik balik dengan pengangkutan awam disambung semula dan penduduk boleh kembali bekerja.

"Sekarang, dengan saya boleh kembali bekerja secara tiba-tiba, saya berasa sedikit gementar," kata penduduk Encik Joseph Mak, yang bekerja dalam bidang pendidikan.

"Sukar untuk mempercayai ia sebenarnya berlaku."

Pelonggaran sekatan hanya terpakai kepada mereka yang berada di kawasan berisiko rendah, atau membabitkan kira-kira 22.5 juta orang.

"Ini adalah hari yang kami mimpikan sejak sekian lama," kata jurucakap pemerintah Shanghai, Cik Yin Xin, kepada wartawan.

Cik Yin berkata sidang berita dalam talian setiap hari akan dihentikan kerana rakan sekerjanya, yang telah tinggal di tapak kerja selama dua bulan lalu, seperti yang dikehendaki peraturan Covid-19, akan pulang ke rumah selepas tengah malam tadi.

"Semua orang telah banyak berkorban. Hari ini telah dimenangi dengan susah payah, dan kita perlu menghargai dan melindunginya, dan mengalu-alukan kembali Shanghai yang kita kenali dan dirindui."

Penduduk masih perlu memakai pelitup dan tidak digalakkan untuk berkumpul. Makan di dalam restoran kekal dilarang.

Kedai boleh beroperasi pada kapasiti 75 peratus. Gim akan dibuka semula kemudiannya.

Penduduk juga perlu mendapatkan ujian Covid-19 setiap 72 jam untuk menaiki pengangkutan awam dan memasuki tempat awam.

Kuarantin ketat masih ada buat sesiapa yang diuji positif dan kenalan rapat mereka. - Agensi berita.