Topic followed successfully
Go to BHkuCovid-19 di M'sia: PM Muhyiddin umum kelonggaran bagi penduduk sudah divaksin di tempat tertentu
Covid-19 di M'sia: PM Muhyiddin umum kelonggaran bagi penduduk sudah divaksin di tempat tertentu
Covid-19 di M'sia: PM Muhyiddin umum kelonggaran bagi penduduk sudah divaksin di tempat tertentu
KUALA LUMPUR: Malaysia akan memberi lebih kelonggaran buat kembara, makan bersama di luar dan kegiatan sukan di ruang terbuka buat individu yang sudah tamat menjalani vaksinasi Covid-19.
Ketetapan ini adalah bagi beberapa tempat yang sudah keluar dari fasa paling serius perintah berkurung seisi negara.
Penduduk Malaysia yang pulang ke negara tersebut juga dibenarkan menjalani kuarantin di rumah.
Ini diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam satu pengumuman khas di televisyen pada Ahad (8 Ogos) dengan ketetapan baru itu bermula pada Selasa di tempat-tempat yang sudah beredar ke sekurang-kurangnya fasa 2, Pelan Pemulihan Kebangsaan.
Buat masa ini, Perlis, Sarawak dan wilayah persekutuan Labuan berada dalam fasa 3 manakala Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Pulau Pinang dan Sabah berada di fasa 2.
"Saya faham ramai berdepan dengan kelelahan pandemik. Mengambil kira maklum balas daripada Kementerian Kesihatan, kerajaan bersedia membenarkan kemudahan ini buat mereka yang sudah mendapatkan vaksinasi penuh," kata Tan Sri Muhyiddin.
Orang ramai berpeluang menikmati kelonggaran sekatan 14 hari selepas menerima suntikan vaksin kedua atau 28 hari dalam kes mereka yang sudah menerima suntikan pertama.
Menurut Tan Sri Muhyiddin lagi, kemudahan itu membolehkan pasangan suami isteri yang hidup berjauhan dan sudah menerima vaksinasi penuh merentas daerah atau negeri bagi bertemu pasangan mereka.
Ketetapan sebegini juga buat ibu bapa yang ingin berjumpa anak-anak di bawah usia 18 tahun.
Vaksin yang disahkan Malaysia adalah yang dikeluarkan Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Sinovac, Johnson & Johnson dan CanSino.
"Pengembara warga negara dan bukan warga negara, yang mempunyai kediaman di Malaysia (termasuk Penduduk Tetap dan Malaysia MY Second Home) yang pulang atau tiba dari luar negara dan telah mendapat vaksinasi penuh, dibenarkan menjalani kuarantin wajib di rumah dan diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) digital," katanya.
Bagaimanapun, mengenai makan bersama di luar, beliau berkata:
"Saya ingin menasihati orang awam agar keluar makan bersama di luar hanya apabila perlu dan jangan ambil masa terlalu lama. Pilih lokasi dengan pengudaraan yang baik. Pemilik premis makan juga harus bersedia membuka lebih banyak tempat duduk terbuka di luar restoran bagi mengurangkan risiko jangkitan."
Menurutnya, kelonggaran bagi sektor ekonomi pula masih dalam perbincangan dan akan diumumkan tidak lama lagi. - The Straits Times/Agensi Berita

