BERLIN: Negara Eropah semalam berikar akan memulakan kempen vaksinasi bagi Covid-19 sebelum 2021, berlatar bilangan jangkitan yang melonjak di benua itu menjelang musim perayaan hujung tahun.

Jerman dijangka memulakan vaksinasi pada 27 Disember, kata menteri kesihatannya, dengan 27 negara lain dalam Kesatuan Eropah (EU) dijangka mengikuti jadual sama.

Perancis berkata ia akan menerima sekitar 1.16 juta dos vaksin Covid-19 sebelum akhir tahun ini, dengan lagi 2.3 juta dos dijangka tiba dua bulan selanjutnya.

Negara Eropah terdesak untuk memulakan proses vaksinasi juga kerana bilangan kematian angkara Covid-19 benua itu menghampiri 500,000 orang.

Angka korban di Jerman melonjak kepada 952 dalam tempoh 24 jam kelmarin, menurut pusat kawalan penyakit Institut Robert Koch (RKI), meskipun statistik daripada wilayah Saxony - yang terjejas teruk - tidak disertakan dalam kiraan itu.

"Rasanya macam Ahad pula," kata Encik Ines Kumpl, 57 tahun, merujuk kepada jalan raya lengang di Berlin pada hari pertama sekatan pergerakan baru.

"Saya tahu langkah-langkah sekatan ini wajar, tetapi ia mendatangkan stres."

Denmark, Perancis, Turkey dan Belanda kesemuanya telah memperketat sekatan Covid-19, dengan Perdana Menteri Sepanyol meluahkan rasa cemas berkenaan bilangan jangkitan yang terus melonjak di negaranya.

Ketua Suruhanjaya Eropah (EC) Ursula von der Leyen memberitahu anggota parlimen Eropah hingga 70 peratus penduduk di benua itu perlu divaksinasi untuk mengakhiri pandemik ini.

Tekanan ke atas EC bertambah selepas Britain dan Amerika Syarikat memulakan program vaksinasi masing-masing menggunakan vaksin yang dibangun di EU oleh Pfizer dan BioNTech.

Pemerintah Britain berkata lebih 137,000 orang telah menerima dos pertama sejak proses vaksinasi bermula seminggu lalu.

Dalam pada itu, sayap Eropah Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) berkata gelombang jangkitan susulan Covid-19 boleh berlaku di benua itu tahun depan dan ia menggesa penduduk di Eropah berjaga-jaga dalam musim perayaan hujung tahun.

Ia menggalak mereka memakai pelitup semasa berkunjung-kunjungan.

"Anda mungkin berasa janggal memakai pelitup dan mematuhi jarak selamat semasa bersama rakan dan keluarga, tetapi berbuat demikian boleh memastikan semua orang kekal selamat," kata WHO.

Sementara itu, Naib Presiden Amerika Mike Pence dan isterinya akan menjalani vaksinasi esok bagi mempertingkat keyakinan awam mengenai keselamatan vaksin yang dipilih.

Awal mingu ini, akhbar The New York Times melaporkan seorang pekerja kesihatan di Alaska mengalami masalah alahan serius selepas diberikan vaksin Pfizer. Syarikat farmaseutikal itu berkata ia sedang mendapatkan maklumat mengenai kes tersebut.

Kelmarin, Setiausaha Akhbar Rumah Putih Kayleigh McEnany berkata Presiden Donald Trump amat terbuka untuk mengambil vaksin, meskipun beliau baru pulih daripada Covid-19 dan beberapa pihak menganggap beliau kini mempunyai ketahanan terhadap penyakit itu.

Lebih 300,000 warga Amerika terkorban akibat Covid-19 sejauh ini.

Covid-19 telah membunuh lebih 1.6 juta orang di seluruh dunia sejak jangkitan pertama dikesan di China pada Disember tahun lalu. - Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti