ROME: Kumpulan 20 negara kaya (G-20) mengatakan lebih banyak usaha diperlukan untuk membantu negara miskin memvaksinasi penduduk mereka terhadap Covid-19, tetapi menolak membuat sebarang komitmen berangka atau kewangan baru.
Italy, yang memegang jawatan presiden G-20 tahun ini, mengatakan setelah pertemuan itu bahawa 'Perjanjian Rome', di mana mesyuarat itu diadakan pada Ahad dan Isnin lalu, merangkumi perjanjian politik untuk meningkatkan sokongan pada negara miskin dan mengirim lebih banyak vaksin kepada negara tersebut.
"Tahap ketidaksamaan (vaksin) terlalu tinggi dan tidak boleh berterusan," kata Menteri Kesihatan Italy, Encik Roberto Speranza, kepada wartawan kelmarin.
"Sekiranya kita meninggalkan sebahagian dunia tanpa vaksin, kita mengambil risiko varian baru yang akan merugikan kita semua...
"Mesej kita sangat jelas: tidak ada yang harus ketinggalan dalam kempen vaksinasi," ujarnya.
Vaksin kini dihantar ke negara miskin melalui kemudahan Covax antarabangsa, yang disokong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Perikatan Global bagi Vaksin dan Imunisasi (Gavi).
Namun negara kaya telah dikritik kerana didakwa menyimpan stok Covid-19 sedang banyak negara miskin dengan kadar inokulasi rendah dan kes jangkitan meningkat terpaksa berusaha keras mendapatkan bekalan.
"Negara-negara terkuat... komited untuk melabur sumber yang besar dan mengirim vaksin ke (negara) paling rapuh...
"Kita harus memperkuat sistem ini secara dua hala dan melalui platform antarabangsa bermula dari Covax," kata Encik Speranza.
Namun, ketika ditanya apakah G-20 telah membuat komitmen dari segi kewangan konkrit yang baru, beliau mengingatkan bahawa janji seperti itu berisiko menjadi 'satu kongkongan', dan yang penting adalah 'matlamat politik' dalam usaha vaksinasi global.
"Kami ingin membawa vaksin ke seluruh dunia dan kami akan membuat pelaburan yang diperlukan.
"Adakah ia akan mencukupi? Adakah lebih banyak diperlukan? Negara-negara di dunia membuat komitmen ke arah ini," katanya.
Satu pengisytiharan 11 halaman yang dikeluarkan setelah pertemuan itu tidak membuat sebarang janji kewangan baru, tetapi Encik Speranza mengatakan ini mungkin dicapai dalam pertemuan bersama menteri kesihatan dan kewangan G-20 pada Oktober ini.
Acara itu akan menjadi "kesempatan yang menentukan untuk mencari sumber untuk membiayai instrumen yang telah kami siapkan", katanya.
Lebih 230 juta dos vaksin Covid-19 telah diagihkan ke 139 negara di bawah Covax, data Gavi menunjukkan, berbanding sasaran untuk mendapatkan dua bilion dos buat negara berpendapatan rendah pada akhir 2021.
Encik Speranza menekankan bahawa negara miskin juga harus dibantu untuk menghasilkan vaksin di negara masing-masing.
"Pemindahan dos tidak mencukupi. Kita harus menjadikan kawasan lain di dunia mampu menghasilkan, berkongsi metodologi dan prosedur dalam penghasilan vaksin," katanya.
Mesyuarat Menteri Kesihatan G-20 di Rome antara lain juga menilai kesan pandemik terhadap usaha global membasmi kemiskinan dan penyakit serta mencari jalan mengatasi krisis kesihatan dan mencegah pandemik masa depan. - Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg