BENGALURU: India melaporkan peningkatan kes Covid-19 lebih kecil bagi tiga hari berturut-turut pada Ahad (16 Mei) tetapi bilangan kematian dalam tempoh 23 jam lebih tinggi daripada 4,000, menjadikan angka kematian negara ini mencecah 270,000 orang kini.
Agensi berita Reuters melaporkan angka kematian meningkat sebanyak 4,077 kes sementara jumlah kes jangkitan pula bertambah sebanyak 311,170 kes. Perangkaan ini adalah peningkatan terendah dalam kes harian bagi tempoh tiga minggu, demikian yang ditunjukkan data Kementerian Kesihatan India pada Ahad. Jumlah keseluruhan kes jangkitan telah meningkat sebanyak lebih dua juta kes minggu ini manakala kematiannya pula mencecah hampir 28,000 kes.
Gelombang kedua jangkitan Covid-19 yang menampar hebat India bermula pada Februari lalu lantas memberi tekanan buat hospital dan pekerja perubatan. Kes di beberapa negeri yang awalnya mengalami peningkatan mendadak jumlah kes telah berkurangan seperti di Maharashtra dan kawasan utara Delhi selepas perintang berkurung yang tegas dilaksanakan.
Pegawai kesihatan persekutuan pada Sabtu (15 Mei) menyatakan keseluruhan kadar kes positif koronavirus telah berkurangan daripada 21.9 peratus minggu lalu kepada 19.8 peratus minggu ini, memberikan harapan jangkitan harian sudah mula mantap jumlahnya.
Namun, kenaikan mendadak dilihat di negeri seperti Tamil Nadu di kawasan selatan dan kawasan pedalaman. Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi pada Sabtu meminta pihak berkuasa memperkukuh sumber jagaan kesihatan di kawasan desa dan mempertingkat pemantauan sedang virus ini merebak cepat di kawasan desa ini selepas mengganas di kawasan kota.
Tubuh mangsa Covid-19 pula dibiarkan terbuang di beberapa sungai di India, sesuatu yang disahkan surat pemerintah sesebuah negeri di India yang disaksikan agensi berita Reuters, sebagai pengesahan rasmi pertama wujudnya amalan yang mengejutkan itu.
Sehingga Ahad, India, sebagai penghasil vaksin terbesar telah menjalankan vaksinasi ke atas lebih 40.4 juta atau hanya 2.9 peratus daripada penduduknya seramai 1.35 bilion, menurut data daripada gerbang pemerintah Co-WIN.
India akan memperolehi 516 juta dos vaksin Covid-19 menjelang Julai ini, ujar Menteri Kesihatan, Encik Harsh Vardhan pada Sabtu.
Jumlah jangkitan di negara Asia Selatan ini kini mencecah 24.68 kes. - Reuters


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg